Menyiasat Jho Low seperti menyiasat Najib

- Advertisement -

KAPAL mewah Jho Low, Equanimity yang dicari Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat dikesan di perairan benua Amerika tetapi tuhan hantar ke Bali, di depan muka Malaysia, yang pembeliannya dikatakan dicuri dari kompeni Kementerian Kewangan Malaysia.

- Advertisement -

Tidak perlu lagi jauh mencari dan tuannya. Tiba-tiba dijumpai di Indonesia. Bukankah ini Allah hendak menyerahkannya kepada kerajaan dan rakyat Malaysia. Ibarat ikan kita tidak perlu ke laut jauh, ikan masuk ke bubu tepi rumah sendiri. Buatlah apa yang dibuat dengannya.

Tetapi Peguam Negara ada dalih untuk bertindak. Kita tidak tertarik dengan apa jua dalih, tetapi membiarkan si fulan pergi dengan labu-labunya. Biarkan Jho Low berlayar dengan bahteranya.

Semua tahu duit kerajaan yang dibancuh dalam 1MDB hampir habis. Digunakan antaranya membeli kapal mewah itu. Duit itu tidak pergi sendiri tetapi diambil dari kompeni itu. Pertama ia diambil dengan kekerasan; rompak atau curi. Jika ini yang terjadi mengasa wajar mengadu. Kedua ia diambil kerana diberi.

Jika yang mengambilnya Jho Low, maka 1MDB memberinya. Siapa boleh memberi berguni-guni duit 1MDB kepadanya? Tiada mungkin ia diberi tanpa persetujuan yang paling berkuasa atau yang paling berkuasa itu suruh beri kepadanya.

Siapa lagi yang paling berkuasa di situ melainkan Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri. Semua tahu 1MDB telah hilang duit. Tiada kenyataan yang ia tidak pernah hilang duit. Tiada bukti dan saksi PM Najib atau sesiapa memberi duit itu kepada Jho Low. 

Siapa juga yang hilang duit, dia mesti mengadu. Siapa juga yang memberi duit kerana ditipu, dia juga mengadu. Tetapi siapa juga yang memberi duit kepada orang, nescaya tiada ia mengadu.

Keluarga diraja Saudi derma RM 2.6 billion kepada Najib tidak mengadu dia. Dalam Islam bersedekah dan berderma tidak boleh diumumkan. Habis pahalanya. Jika yang memberi duit pada Jho Low beritahu dia beri duit kepadanya, hilanglah pahalanya.

Berpahala yang memberi duit kepada sesiapa jika duit itu dia punya. Jika ia duit orang diberi tanpa pengetahun dan persetujuan tuannya, ia adalah pecah amanah. Pemecah amanah dan penerima duit orang tanpa kebenaran tuannya, sama-sama besar dosanya.

Lain-lain harta yang dibeli Jho Low dari duit yang dikatakan diambil dari 1MDB telah diambil oleh Jabatan Keadilan Amerika. Yang belum dapat diambil bahtera mewahnya. Bila ia dikesan berada di Bali, Amerika telah mendapatkan kerjasama Indonesia menahannya. Tentunya FBI membuat siasatan rapi atasnya.

Indonesia boleh mengambil tahu tentangnya atau dapatkan sahaja maklumat dari FBI. Tetapi kerana dibeli dari duit 1MDB, Malaysia berhak peduli atas perkara itu. Jika Malaysia dikira sebagai mangsa, maka mangsa di mana-mana juga dan sesiapa juga berhak untuk peduli. Hanya orang seperti Pak Pandir tidak terasa atas apa juga yang berlaku terhadapnya.

Pegawai tinggi Malaysia ketika rencana ini ditulis ada dalih tidak pedulikan keberadaan kapal itu di Bali. Ia bagai bukan Malaysia ada kepentingan. Ertinya Malaysia berlepas tangan. Apa orang hendak kata, katalah. 1MDB, kerajaan tidak terkesan dengannya.

Selama-lamanya Najib dan 1MDB berdalih tiada yang luar biasa dalam urusan 1MDB dan apa yang dikatakan skandal hanya fitnah memburukkan kerajaan, PM. Yang semua mahu kapal itu dan Jho Low disiasat ialah untuk tahu penglibatan Jho Low atas skandal itu. Jika Jho Low disiasat, Ia sama seperti menyiasat Najib. – HARAKAHDAILY 12/3/2018

- Advertisement -