Laksana program jamaah untuk kukuhkan saf

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Ahli PAS perlu berada di saf yang teratur dan tersusun rapi dalam menghadapi PRU14 tidak lama lagi, demikian seru Yang DiPertua PAS Kawasan Nibong Tebal, Mohamad Ahmad pada Mesyuarat Agung PAS Nibong Tebal Kali Ke-34.

- Advertisement -

Memetik ayat 4 surah as-Saff, beliau mengingatkan pesanan Allah S.W.T yang mengasihi para pejuang pembela agama di mana mereka itu dalam susunan teratur rapi seolah-olah bangunan kukuh.

“Program berkala untuk memantapkan jemaah seperi qiyamullail mingguan, kuliah haraki, usrah, liqa’ fikri, istighasah zikir munajat dan tamrin qiyadi perlu dihadiri dan diperluaskan lagi di setiap Cawangan PAS,” ujarnya lagi.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Bendahari PAS Pusat, Razman Zakaria dan dilangsungkan di Dewan Serbaguna Jawi SPS, di sini semalam.

“Untuk tahun ini, perasmi diberikan Teks Ucapan Tuan Guru Presiden agar semua kawasan mempunyai penyatuan fikrah yang sama,” ujar Razman.

Dalam teks tersebut, Tuan Guru berpesan bahawa PAS membawa mesej menyelamatkan rakyat dengan Islam dan membawa budaya politik Islam yang menekankan ketakwaan bagi menyambung tugas para Nabi A.S.

“Budaya politik matang sejahtera adalah kaedah politik yang memberi keadilan pada semua agama dan bangsa,” ujarnya dalam teks itu.

Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Nibong Tebal, Tamil Selvam serta lima Ahli Jawatankuasa DHPP lain.

Kehadiran tiga mantan Yang DiPertua PAS Nibong Tebal iaitu Abdul Rahman Mahyiddin, Abdul Halim dan Rahman Ramjan menyerikan lagi suasana majlis tersebut. -HARAKAHDAILY 12/3/2018

- Advertisement -