Pemuda dan Muslimat Pasir Gudang selesaikan MAT

- Advertisement -
PASIR GUDANG: Dewan Muslimat PAS Kawasan Pasir Gudang telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-8 yang dilangsungkan di Pejabat PAS Pasir Gudang, di sini kelmarin.
 
Acara perasmian telah disempurnakan Timbalan Ketua Muslimat PAS Negeri Johor, Fatimah Ismail yang antara penegasannya supaya istiqamah dengan iman dan Islam.
 
Perkara itu jelasnya, agar segala perbuatan diterima Allah di akhirat kelak sebagaimana dinyatakan pada ayat 85 surah Ali-Imran dibacakannya.
 
Sehubungan itu serunya, dalam mencapai hakikat tersebut, perlulah setiap amilin mengikhlaskan diri dan sabar menempuh perjuangan, serta sentiasa bermuhasabah terhadap masa diinfakkan kepada kerja-kerja Islam.
 
Berlangsung juga pada hari sama adalah MAT Dewan Pemuda PAS Pasir Gudang Kali Ke-4 yang diadakan di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam Tahfiz Al-Kautsar, di sini.
 
Majlis perasmian disempurnakan Ketua Penerangan PAS Johor, Shamsudin Jaafar yang antara ucapannya memetik seruan Allah pada ayat 41 surah At-Taubah agar tetap berjihad secara berjamaah biarpun ringan atau berat.
 
Beliau turut mengingatkan Pemuda PAS agar terus mempunyai ketahanan mental dan fizikal dengan mengikuti usrah dan tamrin, selain memiliki kekuatan 3A iaitu akidah, akhlak dan amal.
 
Beliau juga mahu ahli PAS aktif mempromosikan ‘produk’ ke rumah-rumah pengundi dengan pelbagai cara iaitu melibatkan Dokumen Hijau, Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) dan juga Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
 
Hadir sama pada kedua-dua MAT tersebut adalah Yang DiPertua (YDP) PAS Pasir Gudang, Azhari Mohd dan Timbalan YDP, Ab Aziz Abdullah. -HARAKAHDAILY 11/3/2018
- Advertisement -