Tamrin biadab cuba sucikan Tun M di mata Raja-raja

- Advertisement -

MEMBACA tulisan Tamrin Tun Ghafar bertajuk “Sultan Bukan Tuhan” yang, mengikut beliau, “akan (beliau) serahkan kepada Raja-raja melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam masa terdekat ini”, tetapi telah diviralkan melalui media sosial sejak ia mula ditulis, iaitu Isnin, 5 Mac, lalu, saya boleh memahami mengapa banyak laporan polis dibuat terhadap beliau kerana menghina institusi Raja-raja.

- Advertisement -

Walaupun kita tidak tahu dengan tepat apa tujuan sebenar Tamrin menulis dan mengedarkan tulisan itu, beliau sendiri ada menyebut bahawa:

“8. Rahsia ini terpaksa saya kongsikan bersama kerana kebelakangan ini saya lihat ada di kalangan Raja-raja sama ada mungkin terlupa atau tidak tahu punca mengapa dua kali Perlembagaan Negara ‘terpaksa’ dipinda, justeru mereka terus berdendam dan menyalahkan Dr Mahathir seolah-olah beliau sesuka hati dan beria-ia sangat yang mahu kedua-dua Perkara dalam Perlembagaan itu dipinda.”

Berdasarkan tulisan beliau pada Perenggan satu hingga Perenggan lima tulisan itu, Tamrin jelas mahu menunjukkan bahawa pindaan Perlembagaan Negara pada tahun 1983 itu berlaku kerana peranan penting bapa beliau, Tun Ghafar Baba, yang memberi kata dua kepada Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya meneruskannya bila Tun Dr Mahathir kononnya “menelefon beliau memaklumkan hasratnya tidak mahu meneruskan cadangan meminda Perlembagaan Negara berhubung kuasa Raja-raja”.

Kita tidak tahu dengan tepat sama ada apa yang dinyatakan oleh Tamrin mengenai peranan penting Tun Ghafar ini kerana hanya Tun Dr Mahathir dan Tamrin sendiri yang tahu mengenainya setelah Tun Ghafar tiada lagi untuk menjelaskan peranan sebenar beliau, cuma, jika benar Tun Ghafar memainkan peranan penting dalam perkara ini, agak pelik juga bila buku biografi Tun Dr Mahathir, “A Doctor In The House”, sewaktu membicarakan mengenai pindaan Perlembagaan Negara pada tahun 1983 itu, langsung tidak menyebutnya.

Pelbagai rekod yang ada, termasuk pengakuan Tun Dr Mahathir di dalam buku biografi beliau sendiri, sebaliknya membuktikan bahawa pindaan Perlembagaan Negara pada tahun 1983 itu lahir daripada kehendak Tun Dr Mahathir sendiri.

Begitu juga dengan dakwaan Tamrin bahawa Tun Dr Mahathir yang bertanggungjawab mententeramkan “rakyat jelata (yang) mula marah diatas keengganan Raja-raja memberi persetujuan (terhadap pindaan Perlembagaan Negara pada tahun 1983 itu)”, di mana “segala rahsia dan kelemahan Raja-raja dan keluarga mereka ditelanjangkan” selain “terdapat juga suara-suara dan cadangan yang ekstrim disuarakan”, di mana, dakwa Tamrin, jika tidak kerana peranan Tun Dr Mahathir ini, “mungkin hari ini tidak ada lagi Raja-raja seperti yang pernah berlaku pada Negeri Melaka sejak tahun 1699 iaitu kira-kira 320 tahun dahulu atau yang pernah berlaku di negara-negara Eropah suatu masa dulu”.

Berdasarkan kepada apa yang terkandung di dalam tulisan Tamrin ini dapatlah dirumuskan bahawa ia secara tidak langsung mahu mensucikan Tun Dr Mahathir di mata Raja-raja seolah-olah Tun Dr Mahathir-lah penyelamat institusi Raja-raja walhal, berdasarkan kepada pelbagai rekod yang ada, jelas kepada kita bahawa pihak yang menghakis martabat Raja-raja ini adalah Tun Dr Mahathir sendiri.

Malah, Tun Dr Mahathir sendiri mengakui di dalam buku biografi beliau bahawa setelah pindaan Perlembagaan Negara pada tahun 1983 itu diperkenankan (dengan penyesuaian), maka beliau segera membaik-pulih hubungan beliau dengan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja (“hastened to repair (his) relations with the King and the other Rulers”), sambil memuji mereka dengan menyebut bahawa Raja-Raja baik hati dan sedia melupakan insiden itu (“the Rulers were generous and prepared to forget the incident”).

Jadi, naratif baru yang cuba dikemukakan oleh Tamrin bahawa Tun Dr Mahathir adalah penyelamat institusi Raja-raja ini jelas bertentangan dengan, selain pelbagai rekod yang ada, pengakuan Tun Dr Mahathir sendiri di dalam buku biografi beliau.

Boleh kita tanyakan, umpamanya, apa perlunya Tun Dr Mahathir segera membaik-pulih hubungan beliau dengan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja jika beliau tidak melakukan apa-apa perkara yang menjejaskan hubungan mereka di dalam episod pindaan Perlembagaan Negara pada tahun 1983 itu?

Begitu juga boleh kita tanyakan, umpamanya, apa rasionalnya Tamrin mendakwa “ada di kalangan Raja-Raja terus berdendam dan menyalahkan Dr Mahathir seolah-olah beliau sesuka hati dan beria-ia sangat yang mahu kedua-dua Perkara dalam Perlembagaan itu dipinda”, sedangkan Tun Dr Mahathir sendiri mengakui bahawa Raja-raja baik hati dan sedia melupakan insiden itu?

Tamrin memang bersikap biadab bila membayangkan seolah-olah Raja-raja terlalu naïf sehingga tidak mengetahui “perkara-perkara yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan mengikut Perlembagaan dan Undang-undang Negara”, bila membayangkan seolah-olah Raja-raja gagal “menunjukkan contoh dan teladan yang baik yang boleh diikuti oleh rakyat jelata” dan bila mencabar Raja-raja turun takhta dan bertanding dalam pilihan raya jika sekiranya mereka merasakan mereka boleh berkhidmat lebih hebat untuk rakyat.

Tulisan Tamrin ini bukan sahaja melanggar adab-adab Melayu dan melanggar undang-undang negara, malah ia juga merupakan usaha memesongkan fakta-fakta sejarah demi mencapai tujuan-tujuan politik tertentu, paling nyata ialah untuk mensucikan Tun Dr Mahathir di mata Raja-raja tatkala Tun Dr Mahathir, selaku Pengerusi PH, sedang mengalami masalah yang sangat serius di dalam hubungan antara beliau dengan Raja-raja.

Bagaimanapun, pada hemat saya, usaha ini akan gagal kerana, bertentangan dengan gambaran yang cuba diberikan oleh Tamrin, Raja-raja sebenarnya tidaklah naif. – HARAKAHDAILY 8/3/2018

- Advertisement -