PAS Negeri Sembilan santuni bekas Ketua Puteri Umno

- Advertisement -

SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan menerusi Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamaknya, Ustaz Rosmin Adam dan Ustaz Army Safwan telah menziarahi bekas Ketua Puteri Umno, Julizara Sulong di kediamannya di Taman Selasih, Sikamat, di sini baru-baru ini

- Advertisement -

Julizara, 37, merupakan ibu tunggal dan mempunyai seorang anak perempuan, pernah diserang strok kali pertama pada tahun 2014 dan kali yang kedua pada November 2017, mengakibat beliau tidak boleh bekerja dan bergerak seperti biasa.

“Kini, beliau disahkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU). Beliau kerani di syarikat pemasaran kereta dan telah diberikan cuti sakit selama tiga bulan sebagai cuti tanpa gaji.

“Oleh itu, beliau mengalami kesukaran dalam menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal dengan keadaan sumber kewangan yang amat terhad dan hilang upaya kekal yang tidak boleh bergerak seperti biasa.

“Sehingga kini beliau belum mendapat apa-apa bantuan daripada pihak JKM, Pusat Zakat, PERKESO dan sebagainya. Beliau memohon dapatkan BR1M, tapi malangnya dikatakan tidak layak, cuma pernah sekali mendapat BR1M berjumlah RM400,” kata Ustaz Rosmin.

Ustaz Rosmin berkata, sebelum menghidap strok, Julizara adalah merupakan bekas Ketua Puteri Umno Cawangan Kawasan Perindustrian Senawang, namun atas faktor kesihatan melepaskan jawatan.

Namun difahamkan, perkara yang mendukacitakan beliau adalah tiada bantuan oleh pihak Umno mahupun kerajaan setelah menghidapi penyakit itu.

“Saya dimaklumkan oleh Julizara, bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan ada hulur sumbangan melalui wakilnya pada Disember tahun lepas, namun beliau kecewa Puteri Umno tidak membuat tindakan susulan.

“Contohnya tidak membantu beliau untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan untuk tujuan permohonan PERKESO, memandangkan beliau menghadapi kesukaran bergerak.

“Beliau berasa hampa kerana sepanjang tempoh kesihatan yang baik sokongannya kepada Umno tanpa ada berbelah bagi dan bekerja untuk memajukan Umno. Kini, saat memerlukan semuanya hampa.

Dalam pertemuan tersebut, pihak PAS telah menghulurkan sedikit bantuan barangan dapur dan wang saku dan berjanji akan membantu beliau untuk menghubungi JKM, Pusat Zakat, PERKESO dan pihak yang berkaitan.

Jelas Ustaz Rosmin, ia untuk memastikan hidup beliau sebagai OKU dan ibu tunggal lebih terbela dan terjamin. – HARAKAHDAILY 8/3/2018

- Advertisement -