BELUM pun reda kemelut yang timbul ekoran kenyataan Naib Presiden PAN, Husam Musa, di dalam ceramah beliau di Kuala Krai pada 3 Mac lalu bahawa “Haram undi PAS”, semalam, 7 Mac, Pengerusi KANUN PAN merangkap Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, dilapor mengeluarkan kenyataan “Lega mati lawan BN” pula di dalam sesi perbahasan Titah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat.
Mengikut laporan Sinar Harian Online, kata-kata Hanipa adalah berbunyi: “Sakit ke hatta saya mati sekali pun saya puas hati sebab saya cakap lawan BN. Kalau malaikat tanya kenapa mati? (saya jawab) ‘mati lawan BN’, saya rasa lega betullah.”
Tidakkah kenyataan Hanipa ini seolah-olah menggalakkan para penyokong PAN supaya tidak takut mati di dalam berjuang melawan BN, di mana gambaran yang diberikan adalah bahawa ‘mati lawan BN’ adalah sesuatu yang berpahala?
Tidakkah kenyataan Hanipa ini bercanggah dengan kenyataan Penasihat Umum PAN, Ahmad Awang, pada 28 Februari lalu bahawa “kita di dalam PAN ini tidak akan menggunakan hukum-hukum agama semata-mata untuk kepentingan politik”? Tidakkah kenyataan Hanipa ini boleh menggalakkan ekstremisme dalam PAN? Apa lagi agaknya hukum politik yang akan dikeluarkan oleh PAN selepas ini? – HARAKAHDAILY 8/3/2018