PKR akhirnya tunduk mengalah kepada DAP

- Advertisement -
SEPERTI sedia dimaklumi, PKR Pulau Pinang, melalui Ketua Penerangannya, Dr Afif Bahardin, telah secara terbuka mengumumkan bahawa ia tidak akan melepaskan mana-mana satu daripada 16 kerusi DUN-nya kepada PPBM atau kepada PAN jika DAP juga berkeras untuk tidak melepaskan mana-mana satu daripada 19 kerusinya kepada PKR.
 
PPBM Pulau Pinang pula, melalui Pengerusinya, Marzuki Yahya, telah secara terbuka mengumumkan bahawa ia mahu meletakkan calon di 10 kerusi DUN yang kini diwakili oleh Umno, iaitu N1 Penaga, N2 Bertam, N3 Pinang Tunggal, N4 Permatang Berangan, N5 Sungai Dua, N6 Telok Ayer Tawar, N40 Telok Bahang, N21 Sungai Acheh, N38 Bayan Lepas dan N39 Pulau Betong.
 
Sementara itu, PAN Pulau Pinang, melalui Pengerusinya, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, telah secara terbuka mengumumkan bahawa ia mahu meletakkan calon di 5 kerusi DUN yang ditandingi oleh PAS di dalam PRU 13, iaitu N1 Penaga, N4 Permatang Berangan, N5 Sungai Dua, N11 Permatang Pasir dan N38 Bayan Lepas.
 
Pada akhirnya, keputusan akhir agihan kerusi DUN Pulau Pinang yang akan diumumkan nanti menyaksikan ugutan PKR Pulau Pinang ini tidak ke mana kerana ia dengan berat hati terpaksa juga melepaskan dua DUN-nya, iaitu N2 Bertam dan N40 Telok Bahang, kepada PPBM walaupun DAP tidak melepaskan mana-mana satu daripada 19 kerusinya kepada PKR sebagai ganti kepada kerusi PKR yang dilepaskan kepada PPBM.
 
Ini sekali gus menyebabkan PKR terpaksa berpuas hati dengan 14 kerusi sahaja, iaitu N3 Pinang Tunggal, N6 Telok Ayer Tawar, N10 Seberang Jaya, N12 Penanti, N14 Machang Bubuk, N17 Bukit Tengah, N18 Bukit Tambun, N20 Sungai Bakap, N21 Sungai Acheh, N24 Kebun Bunga, N35 Batu Uban, N36 Pantai Jerejak, N37 Batu Maung dan N39 Pulau Betong.
 
Begitu juga dengan PPBM Pulau Pinang yang terpaksa berpuas hati dengan empat kerusi sahaja, iaitu N1 Penaga, N2 Bertam, N4 Permatang Berangan dan N40 Telok Bahang.
 
Akhir sekali adalah PAN yang sekali lagi terpaksa berpuas hati di kedudukan tercorot dengan tiga kerusi sahaja, iaitu N5 Sungai Dua, N11 Permatang Pasir dan N38 Bayan Lepas.
 
Sudah tiada langsungkah pemimpin yang benar-benar jantan di dalam PKR, PPBM dan PAN yang betul-betul berani untuk berhadapan dengan pemimpin DAP ini? – HARAKAHDAILY 7/3/2018
- Advertisement -