Muslimat seru sokongan untuk pusat dakwah pedalaman

- Advertisement -

KUDAT: Pusat Pendidikan Luqmanul Hakim merupakan pusat dakwah yang berfungsi menyediakan pendidikan asas fardu ain khusus kepada muallaf dan penduduk sekitarnya di pedalaman Pitas.

- Advertisement -

Dibangunkan oleh pasangan suami isteri, Nemrone Loveh dan Dausieh Quaek, ia turut menyedia pengajian tahfiz dan perlindungan anak yatim, serta kelas tambahan percuma kepada pelajar tanpa mengira latar belakang agama.

Menyokong usaha murni itu, Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Malaysia mengisytiharkannya sebagai pusat pendidikan angkat dan melancarkan tabung khas bagi dana pembangunan infrastruktur premis tersebut.

Ia diputuskan sempena lawatan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh bersama Pengerusi Lajnah Dakwahnya, Dr Mardhiyah Hayati Salleh ke Pusat Pendidikan Luqmanul Hakim baru-baru ini.

Menurut Ketua Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu, menerusi pengisytiharan dan pelancaran itu, sebanyak RM100,000 disasarkan dalam tempoh sebulan untuk melaksanakan rancangan pembangunan.

Jelas beliau, ia melibatkan pembinaan jalan, pembangunan pondok serta keperluan harian pelajar tahfiz seperti makan minum dan pengangkutan, baik pulih serta elaun guru sekitar RM5,000 sebulan.

Tegasnya, sokongan kewangan ini sangat penting memandangkan Pusat Pendidikan Luqamanul Hakim merupakan medan dakwah terbesar setakat ini di Pitas yang ketika ini hanya terdapat pondok-pondok.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 5640 2540 0711 atas nama Dewan Muslimat PAS Pusat dengan rujukan ‘Dana Pusat Pendidikan Luqmanul Hakim dan sebarang pertanyaan hubungi Raba’ah Adawiyah di talian 014-521 8223. -HARAKAHDAILY 7/3/2018

- Advertisement -