Kesihatan masyarakat Samariang terus disantuni

- Advertisement -
PETRA  JAYA: PAS Kawasan Petra Jaya telah meneruskan penganjuran siri program Kamek Prihatin Kesihatan Kitak yang diadakan di Samariang, di sini kelmarin.
 
Inisiatif dengan kerjasama PAS Kawasan Santubong itu dalam usaha menyemai kesedaran penjagaan kesihatan diri yang dilaksanakan dengan pemeriksaan percuma beberapa ujian tahap kesihatan pengunjung.
 
Selain itu, program turut diisi dengan aktiviti sampingan seperti pertandingan mewarna, jualan amal, sumbangan beras, cabutan bertuah dan jamuan tengahari, serta gotong-royong bersama penduduk setempat.
 
Turut diselitkan pada program itu adalah slot “Jom Kenali PAS” yang disampaikan oleh Ketua Penerangan PAS Petra Jaya, Farhan Burhanuddin, selain tetamu istimewa, Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
 
Beliau dalam slot Kuliah Dhuha telah mengingatkan pengunjung akan nikmat kesihatan yang harus disyukuri sebagaimana juga kurniaan iman dan Islam sebagai asas kebaikan kepada semua amalan.
 
Hadir sama memeriahkan program tersebut adalah Yang DiPertua PAS Petra Jaya, Morshidi Hassan dan Ketua Muslimat PAS Petra Jaya, Habsah Bujang serta Ketua Muslimat PAS Santubong, Juwairiyah Mat Din. – HARAKAHDAILY 6/3/2018
- Advertisement -