Ameerah Malaysia anjur Pentas Ameerah Zon Tengah

- Advertisement -

PANDAN: Ameerah Malaysia telah menganjurkan Pentas Ameerah Zon Tengah yang melibatkan Ameerah Selangor dan Wilayah Persekutuan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Pentas Ameerah membawakan pidato daripada ikon-ikon Muslimat Muda dalam menyuarakan isu-isu negara seperti keselamatan wanita, kos sara hidup, pinjaman pendidikan serta rekod pencapaian PAS untuk perhatian anak muda.

Menurut Timbalan Pengarah Ameerah Malaysia, Nadirah Khalid, pihaknya konsisten untuk memberi penerangan berkaitan produk dan dokumen PAS selaim menjawab isu semasa di pentas politik dan media sosial.

Jelasnya, Ameerah mensasarkan penerangan tersebut kepada seluruh masyarakat Malaysia, khususnya kalangan wanita muda berusia 21 hingga 40 tahun.

Menurut beliau, peranan itu diambil dalam membetulkan keciciran golongan muda dari fahaman salah mengenai politik dan menghindarinya akibat dari pelbagai tingkah laku parti dan ahli politik negara.

Pelbagai acara disajikan sempena program tersebut antaranya penyerahan sumbangan kepada asnaf, cabutan bertuah dan persembahan daripada kumpulan Shoutul Amal.

Turut diadakan ialah gerai jualan dengan pelbagai barangan dan makanan menambah kemeriahan Pentas Ameerah yang julung kali dianjurkan itu.

Turut hadir bersama adalah pimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam dan Dr Azimah Ibrahim, serta wakil NGO Alif Ba Ta dan Sigma. -HARAKAHDAILY 6/3/2018

- Advertisement -