‘Syurga empat beranak’ dilawati JKM, MUIP

PAYA BESAR: Nasib keluarga daif empat beranak akhirnya mendapat perhatian pihak berwajib apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melawat mereka di Felda Bukit Sagu 1, di sini petang tadi.
 
Kunjungan itu susulan kisah keluarga tersebut yang dibantu Tabung Prihatin Rakyat diketuai Yang DiPertua PAS Kawasan Paya Besar, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya dilaporkan Wartawan Rakyat Paya Besar disiarkan oleh HarakahDaily semalam.
 
Sehubungan itu, pihak JKM dan MUIP dengan bantuan Wartawan Rakyat Paya Besar telah dibawa berziarah dan melihat sendiri kehidupan keluarga tersebut yang menghuni di ‘bangsal daif syurga empat beranak’ dalam ladang sawit tersebut.
 
Dengan perhatian itu sekali gus memberi harapan kepada keluarga daif tersebut untuk keluar dari masalah membelenggu dan merubah kehidupan mereka ke arah lebih baik.
 
Keluarga yang tinggal di bangsal tanpa dinding dan pintu itu tinggal menumpang secara ehsan di lot tanah kosong milik peneroka, Che Hasan Samad dan pihak PAS Paya Besar telah bergotong-royong membina kediaman untuk mereka, kelmarin.
 
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian dengan terus menyalurkan ke akaun Maybank 5562 2640 4572 atas nama Tabung Prihatin Rakyat Paya Besar. -HARAKAHDAILY 5/3/2018