Semarak jihad Pemuda PAS Nibong Tebal

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Pemuda PAS perlu mengambil iktibar dari kisah Perang Tabuk di mana Allah S.W.T menguji umat Islam ketika itu dengan pelbagai cabaran untuk keluar berjihad.

- Advertisement -

Demikian seru Ketua Pemuda PAS Kawasan Nibong Tebal, Ustaz Mohd Azhar Ahmad ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Dewan Pemuda PAS Nibong Tebal Kali Ke-27.

Memetik ayat 38 dan 39 surah at-Taubah, beliau mengutarakan peringatan Allah terhadap ujian keimanan yang perlu dizahirkan pembuktiannya dalam mengetahui antara benar dan dusta.

Bahkan peringatnya, ayat dorongan menyertai jihad secara angkatan itu ditegaskan dengan ancaman Allah terhadap siksaan dan gantian generasi lain akibat dari mengesampingkan perintah jihad.

“Di mana, Allah S.W.T akan menguji sebagai tapisan buat mereka yang benar-benar mahu berjihad.

“Cabaran hari ini memerlukan tenaga pemuda dalam gerak kerja jamaah tidak ada bezanya dengan sirah ini,” lontarnya.

Mesyuarat tersebut dirasmikan Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah dan dilangsungkan di Pejabat Kompas Nibong Tebal, Taman Seri Acheh, di sini semalam.

Dalam ucapannya, beliau menyeru agar semangat kepemudaan yang bersemarak itu akan berterusan untuk menempuh medan PRU14 tidak lama lagi itu.

Hadir sama pada majlis itu adalah Yang DiPertua PAS Nibong Tebal, Mohamad Ahmad dan pimpinan PAS Nibong Tebal serta pimpinan Dewan Muslimat PAS Nibong Tebal. -HARAKAHDAILY 5/3/2018

- Advertisement -