MAT Muslimat Kinabatangan kobar semangat PRU14

- Advertisement -

KINABATANGAN: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Dewan Muslimat PAS Kawasan Kinabatangan Kali Ke-9 telah berlangsung dengan semangat PRU14 di kediaman Ketua Dewan Muslimat PAS Kinabatangan, Kastieya Fuddin, dekat sini semalam.

- Advertisement -

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Yang DiPertua PAS Kinabatangan, Sairin Muyang yang telah menggariskan beberapa panduan serta saranan bagi menghadapi PRU14 yang akan menjelang tiba bila-bila masa sahaja.

Selain itu, ia juga dijadikan medan muhasabah bagi seluruh jentera Dewan Muslimat PAS Kinabatangan untuk memperkemas, menyusun dan menambahbaik semula gerak kerja yang lepas terutama dalam mendepani ambang PRU-14.

Dalam ucaptama yang bertemakan “Muslimat Akifi Sayap Kiri Perjuangan”, Kastieya Fuddin menyeru perwakilan agar menguasai ilmu serta kepakaran dalam penyusunan dan pelaksanaan strategi perjuangan.

“Kita perlu membina satu barisan mantap yang berorganisasi tersusun dan bersatu padu, tambahan bila dekat dengan PRU-14,” katanya.

Tegasnya, Muslimat perlu berusaha mencapai fikiran yang matang dan terbuka berserta ketajaman akal, disamping peka dengan perkembangan dunia globalisasi.

Disamping itu, beliau turut menggesa agar Muslimat berlumba-lumba dalam kebaikan seperti jihad, menuntut ilmu, mendahulukan kepentingan orang lain dan penuh dengan kerendahan hati.

Kastieya turut menggariskan peranan Muslimat yang amat besar dalam membantu perjuangan Islam bukan setakat terbatas untuk mengendalikan urusan rumah tangga dan anak-anak sahaja.

“Muslimat mesti menjadi pendorong dan penyokong dalam perjuangan suaminya, kita kena jadi penyokong kuat.

“Janganlah (pula) isteri pejuang Islam menjadi asbab kepada gugurnya suami dari medan perjuangan Islam, ini salah,” peringatnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Briged Sabah, Justina Malik Abdullah selaku pemerhati dari Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah.-HARAKAHDAILY 5/3/2018

- Advertisement -