Bashah dituntut senarai Manifesto BN ditiru PAS

- Advertisement -
PAS Kedah bersama Gagasan Sejahtera (GAGASAN) telah melancarkan Manifesto PRU14 bersama dengan Pelancaran penubuhan GAGASAN peringkat Negeri Kedah.
 
Manifesto ini mempunyai 15 agenda teras dan dirangka berdasarkan kemampuan yang dibuktikan sewaktu memerintah Kedah 2008 hingga 2013.
 
PAS Kedah kehairanan dengan dakwaan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang menuduh GAGASAN telah meniru BN dalam mengemukan tawaran-tawaran dalam manifesto tersebut.
 
Persoalan pertama adalah adakah Bashah berkesempatan membaca dan meneliti kandungannya? Kalau belum, kami cadangkan ia diteliti terlebih dahulu.
 
Yang kedua, asas kepada tawaran-tawaran dalam manifesto GAGASAN ialah pencapaian 2008-2013 yang akan diteruskan meliputi banyak bidang dan kumpulan sasar. Jika beliau mengatakan ia meniru BN, bermaksud BN terlebih dahulu meniru Kerajaan PAS 2008-2013.
 
PAS Kedah mencabar BN Kedah mengemukakan satu senarai lengkap tawaran-tawaran dalam Manifesto GAGASAN yang dituduh meniru BN supaya rakyat menelitinya. 
 
PAS Kedah pada bila-bila masa sahaja boleh menyenaraikan langkah-langkah BN Kedah meniru rancangan yang dilaksanakan sewaktu menjadi kerajaan pada 2008-2013. Kami juga boleh mengemukakan senarai rancangan-rancangan yang sangat baik untuk rakyat dan negeri Kedah tetapi dibatalkan tanpa alasan yang munasabah oleh kerajaan pimpinan BN.
 
Kami yakin bahawa rakyat Kedah sedia maklum bahawa kebanyakan idea kerajaan negeri pada waktu ini adalah lanjutan daripada rancangan yang telah dilaksanakan oleh PAS satu masa dulu, seperti memberikan insentif khas kepada guru Al-Quran, bidan dan sebagainya telah dimulakan oleh PAS.
 
Demikian juga pembinaan struktur-struktur ikonik yang ada di Kedah seperti Kampus Induk KUIN, Aman Central, Aman Suri, Menara SADA dan Maahad Tahfiz Sains adalah hasil tangan kerajaan pimpinan PAS 2008-2013.
 
Seperkara lagi, BN Kedah belum lagi mengemukakan manisfesto mereka untuk PRU14, bagaimana BN boleh menuduh GAGASAN mencedok daripada yang belum ada?
 
Persoalan besar buat BN Kedah sebenarnya ialah mengemukakan pencapaian Akujanji BN Kedah PRU13 yang belum menampakkan sebarang tanda sehingga kini. Di mana Kedah Rubber City? Di mana Taman Sains? Di mana universiti baru bertaraf dunia berasaskan teknologi? Siapa 500 usahawan baru yang dilahirkan? Apa jadi dengan Lapangan Terbang Kulim?
 
Kami yakin rakyat Kedah sedang menanti Akujanji itu ditunaikan sebelum PRU14 menjelma.
 
Sekian.
 
MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Timbalan Pesuruhjaya
PAS Negeri Kedah
 
HARAKAHDAILY 5/3/2018
- Advertisement -