‘Good Governance’ bukti PAS mampu memerintah

- Advertisement -

PAYA  BESAR: PAS telah terbukti cemerlang menerajui negeri yang diperintah dan kini bersedia dalam memacu pentadbiran negara, demikian menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin.

- Advertisement -

Katanya, kejayaan PAS dapat dilihat khususnya dalam pentadbiran negeri Kelantan dan negeri-negeri yang pernah diperintah oleh PAS seperti Kedah dan Terengganu di mana sudah terbukti turut tidak terkait rasuah.

“PAS mengambil pendekatan untuk melaksanakan Islam dalam kerangka demokrasi yang diberikan. Apa yang berlaku apabila kita memerintah Kelantan selama 27 tahun, pada tahun 1999, PAS memerintah Negeri Terengganu.

“Kemudian PAS memerintah Kedah, semua negeri-negeri ini ditadbir dengan sistem Islam iaitu Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan yang menjadi dasar kepada negeri-negeri tersebut,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Paya Besar, semalam.

Katanya, melalui dasar Islam inilah keyakinan rakyat semakin meningkat kepada PAS, selain kadar kemiskinan di negeri-negeri yang pernah ditadbir oleh PAS juga mencatatkan penurunan.

Walaupun PAS memerintah Terengganu dengan ditarik wang royalti minyak kata beliau, PAS tetap dapat mengurangkan kadar kemiskinan di Terengganu.

“Perkara ini berlaku kerana apa, kerana good  governance yang dilaksanakan pada waktu itu antaranya pembalakan yang meningkat dua kali ganda dan cukai-cukai (yang dibayar) oleh syarikat-syarikat kerana keyakinan kepada kerajaan Islam (PAS).

“Hal ini juga, sama juga yang berlaku di negeri Kedah, kita ambil contoh antaranya Kulim Hi-Tech, semasa Umno memerintah, purata pendapatan Kulim Hi-Tech adalah RM1.613 bilion. Tetapi apabila PAS memerintah 4 hingga 5 tahun purata pendapatan Kulim Hi-Tech meningkat kepada RM3.056 bilion.

“Ini menunjukkan bahawa tidak ada sebarang kebocoran yang berlaku, hasil daripada itulah wujudnya Kolej Universiti Insaniah (KUIN). Inilah yang sepatutnya diperkenalkan kepada rakyat, tentang kemampuan PAS dan PAS mampu memberikan yang terbaik kepada rakyat (jika diberi mandat dalam PRU ke 14),” jelasnya.

Ir Khairil turut menyampaikan Anugerah Jawatankuasa Pemuda Cawangan (JPC) Terbaik DUN yang dianugerahkan kepada JPC Kampung Pandan 2 selaku Terbaik DUN Panching, sementara JPC Felda Bukit Sagu mendapat Terbaik Dun Sungai Lembing dan JPC Lepar Hilir 1 bagi Terbaik DUN Lepar.

Turut hadir dalam Mesyuarat Agung tahunan tersebut Yang DiPertua PAS Paya Besar, Ustaz Tarmizi Yahaya dan kepimpinan PAS Paya Besar. – HARAKAHDAILY 4/3/2018

- Advertisement -