Bantah SOP murtad!

- Advertisement -
KUALA  LUMPUR: PAS membantah keras cadangan yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH) Sarawak yang telah mendesak Kerajaan Negeri Sarawak meminda akta menyediakan suatu garis panduan atau SOP bagi kes-kes murtad.
 
Ini adalah susulan keputusan yang dikeluarkan Mahkamah Persekutuan di Kuching yang mengarahkan kes murtad hendaklah dibicarakan di Mahkamah Syariah.
 
Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan, kenyataan yang dikeluarkan secara bersama oleh tiga parti utama PH di Sarawak iaitu PAN, DAP dan PKR itu jelas suatu cadangan yang tidak masuk akal.
 
“Sepertimana yang saya pernah tegaskan beberapa hari lalu bahawa kes-kes murtad bukan isu kecil dan boleh dipermainkan,” tegas beliau dalam satu kenyataan semalam.
 
Bahkan kata beliau sebarang pandangan dan rujukan mestilah melalui para agamawan dan mufti bagi memastikan autentikasi pendirian yang dikemukakan terhadap pandangan yang ada dalam Islam.
 
Namun jelasnya cadangan menyediakan garis panduan seperti yang dikemukakan oleh pemimpin PH Sarawak termasuk pemimpin PAN itu seolah-olah menggalakkan lagi pihak keluar daripada Islam. 
 
Tambahan pula, negara sudah mempunyai Mahkamah Syariah yang lebih kuat jurisdiksinya untuk mengadili kes-kes berkaitan umat Islam. 
 
Malah tegasnya PAS membawa usul RUU355 supaya fungsi dan kuasa Mahkamah Syariah diangkat dan dimartabatkan lebih tinggi lagi supaya dapat mengadili umat Islam. – HARAKAHDAILY 4/3/2018
- Advertisement -