PPSMI: PH sangat celaru

- Advertisement -
KUALA  LUMPUR: Pertimbangan Pakatan Harapan (PH) ingin memperkenalkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah memperlihatkan blok pembangkang itu celaru dalam mencapai falsafah dan dasar pendidikan negara serta pelaksanaan yang jelas carca merba dan tidak konsisten. 
 
Ketua Eksekutif Majlis Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Malaysia (MAKPEN), Mohd Zai Mustafa berkata, ini kerana kajian Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) dan usahasama lapan IPTA mendapati bahawa PPSMI tidak mampu meningkatkan pencapaian Bahasa Inggeris. 
 
Ujarnya, kajian Mei 2009 dengan 15,000 sampel ke atas murid bandar dan luar bandar itu mendapati pencapaian diperolehi hanya 4 peratus sahaja, bahkan sebaliknya membantutkan tahap kecerdasan murid secara jangka panjang kerana menimbulkan ketidakfahaman berganda dan berterusan dalam subjek tersebut.
 
Tambah beliau kegagalan PPSMI meninggalkan kesan jangka panjang apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2013 hingga 2017 menunjukkan kecemerlangan pelajar yang menduduki subjek Sains dan Matematik turun mendadak sebanyak 23 peratus daripada sebelum pelaksanaan PPSMI iaitu sebanyak 44 peratus.
 
“Ini menunjukkan dasar pelaksanaan PPSMI yang dilaksanakan tidak selari bahkan carca merba dan bercelaru. Prestasi pelajar semakin menurun berbanding sasaran yang hendak dicapai. 
 
“Dasar pelaksanaan PPSMI juga tidak mendukung bahkan bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang diperuntukkan dalam fasal 152 (1) Perlembagagan Persekutuan, di mana Bahasa Melayu adalah bahasa pengantar rasmi dan utama dalam pendidikan negara bagi mencapai falsafah pendidikan negara,” kata beliau.
 
Ulasannya kepada Harakah itu kelmarin mengulas kenyataan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung mengembalikan pelaksanaan PPSMI jika PH menerajui negara.
 
(Ikuti kupasan lanjut beliau yang akan disiarkan dalam Harakah cetak terbaharu Bil.2328 edisi Isnin ini nanti)
- Advertisement -