PM kitar semula, idea pun kitar semula

- Advertisement -
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tarikh pilihan raya umum terus menjadi teka teki.
 
Mungkin Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak masih belum menemui tarikh yang sesuai untuk membubarkan parlimen. Tak apalah, lambat mana pun akan terbubar juga Parlimen. Dalam penantian menunggu tarikh bubar parlimen, kita telah dikejutkan dengan kenyataan daripada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad. 
 
Memetik kenyataan yang dilaporkan dalam akhbar katanya; “Jika majoriti rakyat mahukan PPSMI dikembalikan semula, kita akan laksanakan. Terpulang kepada rakyat dan kita akan pertimbangkan jika itu yang mereka mahu,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Tertutup dengan Pemimpin PH Pahang.
 
Inilah padahnya, jika Perdana Menteri kitar semula tidak mustahil gagasan untuk membangunkan negara hasil daripada idea kitar semula. Idea lapuk. Sudah tahu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) gagal untuk dilaksanakan, kenapa perlu dicadangkan semula? 
 
Apakah Pakatan Harapan (PH) tidak ada idea lain yang lebih bernas untuk membangunkan negara dan rakyat? Kenapa perlu mengembalikan semula pelaksanaan yang ternyata gagal. 
 
Semua pihak membantah pelaksanaan PPSMI kerana ia mendatangkan kesan negatif terhadap pelajar khususnya golongan Melayu. Jadi, apa rasionalnya cadangan untuk PPSMI dikembalikan jika PH menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti? 
 
Kenapa makanan lama yang sudah basi dan boleh mendatangkan penyakit akan dihidangkan juga? Cukuplah percubaan PPSMI dijalankan terhadap pelajar-pelajar khususnya Melayu dalam tempoh enam tahun iaitu bermula 2003 hingga 2009. 
 
Masihkah kita ingat lagi, tarikh keramat 7 Mac 2009 sebilangan besar rakyat yang membantah PPSMI turun ke jalan rakyat dengan seragam merah. Kita sanggup berhimpun menghadapi semburan air kimia (FRU), tembakan gas, dikejar, ditendang semua itu kerana membantah PPSMI. Sekarang PH jika berjaya menjadi kerajaan hendak kembalikan PPSMI.
 
Apakah pimpinan yang dahulu bersama-sama dengan rakyat membantah PPSMI tidak terkenang semua itu? Mana suara Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said; Presiden PAN, Mohamad Sabu; Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub yang membantah pelaksanaan PPSMI suatu ketika dahulu?
 
Apakah mereka semua ini sudah terlupa sejarah untuk membantah PPSMI? Begitu juga mana suara Mahfuz Omar… apakah mereka ini semua sudah takut untuk menyatakan kebenaran hanya semata-mata mahu menjaga kepentingan masing-masing dalam PH. Rakyat penat bermandi semburan air gas mempertahankan bahasa Melayu. 
 
Dr Mahathir dengan mudah membuat kenyataan ada cadangan untuk kembalikan PPSMI. Sepatutnya PH jika menjadi kerajaan perlu memikirkan sesuatu yang jauh lebih baik untuk kebaikan rakyat. Bukan mencedok idea lama. 
 
Jika PPSMI tetap dilaksanakan ia bermakna, rakyat bukan jatuhkan Umno tetapi rakyat bangkitkan pimpinan lama dalam Umno. Realitinya, Umno juga yang berkuasa. Itu pun pimpinan PAN tidak boleh fikir. Kegagalan PPSMI telah kerugian sebanyak RM6 bilion. 
 
Jika cadangan melaksanakan PPSMI diterima berapa bilion lagi kerugian yang terpaksa ditanggung. PPSMI telah dimansuhkan pada tahun 2012. Ia dimansuhkan berdasarkan kajian terperinci yang membuktikan PPSMI gagal mencapai matlamatnya. Dasar yang sudah ternyata gagal sehingga mengorbankan ramai pelajar-pelajar Melayu kini mahu dilaksanakan semula. Inilah yang rakyat perlu faham. 
 
Kita tidak mahu fikiran rakyat dijajah sekali lagi. Kita juga tidak mahu hidup di tanah air sendiri tetapi setiap saat dalam ketakutan. Takut untuk bercakap perkara yang benar kerana silap cakap, pasti tindakan akan dikenakan. Kita juga tidak mahu anak cucu cicit kita ketinggalan dalam bidang pelajaran. Kita mahu anak cucu cicit kita berilmu dan menjadi manusia yang mahir dalam semua bidang. 
 
Mahir dalam pelajaran Sains dan Matematik tidak semestinya dalam bahasa Inggeris. Kita akan lebih berjaya jika dapat menyampaikan ilmu dalam bahasa ibunda tanpa meminggirkan bahasa asing. 
 
Justeru, amat bahaya jika memilik Perdana Menteri kitar semula. Dibimbangi semua rancangan yang dibatalkan dahulu akan dikitar semula. – HARAKAHDAILY 3/3/2018
- Advertisement -