SRITI benteng pertahan Ahli Sunnah

- Advertisement -

TEMERLOH: Mufti Pahang, Dato’ Dr Abdul Rahman Othman berharap Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) menjadi benteng mempertahankan kefahaman Ahli Sunah Wal Jamaah.

- Advertisement -

Beliau berkata, masyarakat Islam kena beramal dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk membentuk masyarakat Islam yang bersatu padu.

“Asas pembentukan masyarakat Islam khususnya di Pahang berpegang teguh kepada Mazhab Imam Syafie,” katanya pada majlis pecah tanah SRITI Al Fateh dekat sini baru-baru ini.

Beliau juga berharap pelajar SRITI mampu berbahasa Arab dan Inggeris serta menghafaz al Quran.

“Sekolah ini akan menjadi rebutan ibu bapa untuk menghantar anak mereka belajar di sekolah berkenaan,” ujarnya.

Menurutnya juga kesungguhan ahli lembaga pengarah SRITI mewujudkan sekolah teras pendidikan Islam di peringkat rendah seharusnya dipuji.

Katanya juga sekolah agama di bawah keraajaan negeri seperti sekolah Al Khairiah, Temerloh memberi fokus kepada pendidikan menengah.

“Pihak pengurusan sekolah disaran memastikan pembinaan sekolah ini menepati spesifikasi keselamatan untuk pelajar.

“Saya tidak mahu ada pelajar sekolah ini jatuh dan menjadi tular di media sosial sehingga geger ke seluruh negara,” katanya.

Pengerusi Lembaga Pengarah SRITI Al-Fateh, Fairuz Hisyam Nordin berkata, majlis pecah tanah SRITI Al-Fateh merupakan detik bersejarah.

Katanya, tidak lupa diucap terima kasih kepada individu dan orang perseorangan yang mewakafkan harta mereka demi melihat pendidikan Islam SRITI Al-Fateh menjadi kenyataan.

Menurutnya juga pembangunan fasa 1 SRITI Al-Fateh dijangka menelan belanja RM1.5 juta.

SRITI Al-Fateh mula beroperasi pada 2016 dengan 14 pelajar dan dua guru. Pada 2017 seramai 45 pelajar dan pada 2018 meningkat kepada 90 pelajar.

“Kebanjiran pelajar setiap tahun memerlukan pihak pengurusan berusaha mencari tapak dan dana untuk membina sekolah baharu di lokasi sesuai.

“Akhirnya kami berjaya membeli sebidang tanah seluas 2.9 ekar dengan kos melebihi RM380,000,” katanya.

Oleh itu beliau mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi pembangunan sekolah itu.

Sumbangan boleh disalur melalui akaun Mybank 55-605-751428-5 atau 11-010-100316-5 (Bank Rakyat) atas nama Dana Pembangunan SRITI Al Fateh. -HARAKAHDAILY 28/2/2018

- Advertisement -