Giatkan dakwah demi pelihara kesejahteraan akidah

- Advertisement -
BERIKUTAN kes di Mahkamah Persekutuan Kuching, Sarawak semalam mengenai isu permohonan keluar agama Islam (kembali murtad) oleh empat individu sungguh mendebarkan. Dengan jayanya, kes ini telah membuka mata ramai menyaksikan kedaulatan Mahkamah Syariah masih berbisa setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk menolak kes tersebut dan menyerahkan pada yang ‘pakar’. 
 
Walaubagaimanapun, kes ini hanya menunjukkan sebilangan kecil yang berani tampil mencabar institusi keagamaan dengan permohonan keluar daripada Islam. Hakikatnya, terdapat ramai lagi di luar sana sebenarnya sudah lama ‘meninggalkan’ ajaran Islam walaupun tanpa mengaku murtad secara lahiriah. 
 
Mengambil contoh di Sarawak, terdapat sebahagian Muslim terutamanya muallaf yg memeluk Islam melalui perkahwinan dan pengislaman oleh para daie yang menjalankan misi dakwah di pedalaman. Terdapat beberapa dalam kalangan mereka akhirnya kecundang di tengah jalan dengan kembali memeluk agama asal atau memilih jalan tidak beragama (atheis). 
 
Rata-rata mereka memilih jalan murtad berpunca dari kurangnya pendedahan mengenai Islam yang sepatutnya menjadi ad-Din atau cara hidup seharian sebagai Muslim. Lebih memilukan, terdapat dalam kalangan mereka awalnya hanya menukar agama kepada Islam, namun tidak pernah mendapat pengajaran Islam selanjutnya.
 
Ada yang memeluk Islam melalui perkahwinan, mereka berasa kecewa dan kembali kepada agama asal disebabkan perceraian atau ditinggalkan pasangan, gara-gara sang pasangan Muslim tidak membimbing pasangan yang muallaf mengenai Islam dan berperilaku tidak menggambarkan Muslim sejati. 
 
Terdapat sebahagian lagi yang memeluk Islam secara beramai-ramai melalui program dakwah di perkampungan pedalaman seperti rumah panjang, mereka amat kurang didedahkan kepada kehidupan cara Islam. Selepas mereka mengucap dua kalimah syahadah, mereka masih lemah meguasai amalan ibadah-ibadah seharian kerana tidak mendapat pendedahan Islam secara berterusan. 
 
Tambahan pula, faktor geografi dan kekangan teknologi juga menjadi penghalang untuk penerusan misi dakwah dilaksanakan. Ini menyebabkan mereka semakin jauh dari Islam dan kembali mengamalkan ajaran nenek moyang mereka. Malah tidak mustahil puak agama lain mengambil kesempatan dengan menyebarkan dakyah mereka sambil menabur kemudahan kewangan kepada yang terdesak.
 
Kejadian tersebut merupakan perkara benar yang masih berlaku hingga kini. Bahkan, keadaan bertambah genting apabila kegiatan Kristianisasi semakin rancak mengumpulkan pengaruhnya. Hanya yang lemah iman akan mudah tersangkut pada umpan dan jerat walaupun akidah menjadi taruhan demi mementingkan duniawi yang hanya sementara.
 
Justeru, isu ini seharusnya memberi tamparan hebat kepada semua umat Islam bahawa memelihara akidah zaman ini bagaikan telur dihujung tanduk. Sama-sama perlu berjihad untuk menuju Syurga abadi. Ia bukan hanya tugas para ustaz, ustazah mahupun pihak Majlis Agama Islam bahkan setiap muslim wajib untuk berdakwah seperti firman Allah: 
 
‎أَدْعُو إِلَى اللّهِ
“Mengajak kepada Allah”
(Yusuf: 108)
 
Pihak Dewan Muslimat PAS memandang serius isu murtad ini dan berharap semua pihak terutama yang memegang tampuk kuasa turun padang dan membantu bebanan ekonomi rakyat terutama golongan miskin kerana hadis Nabi ada bersabda “Kemiskinan menghampiri kekufuran”. Moga Islam dijulang dan kegemilangan Islam Sarawak Darul Hana dapat dikembalikan.
 
Amin ya rabb.
 
“Sejahtera Bersalam Islam”
 
IZYAN HAZIQAH ISROFEIL
Ketua Penerangan 
Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 28/2/2018
- Advertisement -