Pemuda PAS Dun Chukai lancar markas induk

- Advertisement -

KEMAMAN: Markas Induk Pemuda PAS Dun Chukai telah dirasmikan pelancarannya oleh Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah dalam majlis di perkarangan kediaman Adun Chukai, Hanafiah Mat, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Pelancaran markas sebagai pusat pengumpulan tenaga kerja Pemuda PAS itu adalah dalam usaha mengorak langkah mendepani PRU14 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Alias Hamid menyatakan, sokongan kepada PAS kini kian meningkat dan ini adalah kerana PAS konsisten dengan dasar dan matlamat perjuangannya.

Ustaz Mohd Nor Hamzah pula dalam ucapannya menyenaraikan projek-projek pembaziran Kerajaan Umno-BN yang tidak menguntungkan rakyat.

“Jika duit ini digunakan untuk membantu rakyat, betapa banyak manfaat yang rakyat akan dapat. Tidak ada kerajaan yang lebih baik melainkan PAS yang cakna dan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah rakyat,” ujarnya.

Manakala Hanafiah Mat dalam ucapannya menyeru seluruh penduduk Kemaman hingga ke Besut untuk memberi undi kepada PAS bagi memberi laluan kepada PAS memerintah Terengganu Darul Iman.

Dalam majlis yang sama juga, diadakan Majlis Jamuan Rakyat, cabutan bertuah dan edaran risalah manifesto.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua PAS Kemaman, Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malik; Bendahari PAS Kemaman, Johan Ismail dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kemaman, Ustaz Ramlan Mahmood. -HARAKAHDAILY 27/2/2018

- Advertisement -