Guru PASTI sebagai petugas menangkan Islam

- Advertisement -
SANDAKAN: Guru PASTI perlu mengambil bahagian dalam gerak kerja pilihan raya, sekali gus membantu PAS memenangkan Islam dalam negara.
 
Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Sahar Abdul Majid berkata, guru PASTI adalah antara benteng hadapan jentera parti yang akan berhadapan dengan mad’u PAS dalam pilihan raya.
 
Justeru menurutnya, sudah menjadi kewajipan bagi guru PASTI untuk melengkapkan diri dengan ilmu pilihan raya bagi digunakan semasa bertugas bertemu pengundi.
 
Beliau menegaskan demikian ketika merasmikan Tamrin dan Ijtimak Pilihan Raya Guru PASTI Zon Sandakan yang diadakan dekat sini kelmarin
 
Jelasnya, program tersebut merupakan sebahagian daripada jalan perjuangan yang disebutkan Allah kerana perlu mengorbankan masa dan harta untuk menerima kefahaman Islam, sekali gus menterjemahkannya kepada mad’u.
 
“Islam dan politik tidak boleh dipisahkan kerana jika ia terjadi akan hancurlah ahli politik.
 
“Mereka (ahli politik) tidak akan mempedulikan dosa dan pahala ketika menggalas amanah sebagai wakil rakyat (jika memisahkan agama dan politik),” tegasnya
 
Sahar juga berbangga dan berharap agar guru PASTI yang hadir dalam program tersebut terus istiqamah memperjuangkan dan mendaulatkan Islam di bumi Sandakan khususnya dan Sabah amnya.
 
Beliau turut mengingatkan semua guru PASTI agar melaksanakan amanah untuk memperjuangkan Islam melalui wadah PAS dalam pilihan raya nanti. -HARAKAHDAILY 27/2/2018
- Advertisement -