Dun Chukai diyakini kekal milik PAS

- Advertisement -
KEMAMAN: PAS berkeyakinan penuh untuk memenangi sekali lagi kerusi Dun Chukai dalam PRU akan datang berdasarkan kepada gerakerja dan sambutan yang sangat memberangsangkan terutama dari golongan muda.
 
Demikian penegasan yang dibuat oleh Ketua Pemuda PAS Dun Chukai, Ustaz Osmarizal Omar, 37, ketika ditemui ketika Majlis Perasmian Markas Pemuda Dun Cukai di sini kelmarin.
 
Keyakinan beliau adalah berdasarkan sambutan oleh anak-anak muda terhadap program-program anjuran PAS Chukai yang bukan sahaja datang daripada penyokong PAS, malah turut dikesan anak-anak orang Umno dan PH juga menyertainya.
 
“Persiapan berbanding PRU dahulu sangat berbeza dan kita melihat bukan sahaja sokongan biasa malah kita sekarang sudah mendapat menarik ahli-ahli yang sanggup berkerja untuk parti.
 
“Saya yakin sokongan yang penting ini datang dari sikap Adun Chukai, Hanafiah Mat sendiri yang mana beliau sangat mesra pemuda dan banyak program-program dia akan turun memberi sokongan.
 
“Bukan itu sahaja, beliau juga suka bertanya pandangan pemuda dan meraikan pemuda, samada Pemuda PAS ataupun orang muda dari luar parti,” terang beliau.
 
Osmarizal yang akan mengetuai jentera PRU Pemuda Dun Chukai buat kali kedua juga percaya akan dapat mengatasi cabaran daripada gerakan pemuda parti-parti lawan dan sangat bersedia walau terpaksa menghadapi tiga penjuru.
 
Melalui pemerhatian beliau, tiada persiapan besar daripada parti lain, malah ada sesetengah parti, masih belum ada penggeraknya, seperti tiada tenaga kerja yang mahu menjalankan kerja-kerja PRU.
 
“Berbeza dengan PAS, bukan sahaja pemuda-pemuda dari kalangan Islam, tetapi juga pemuda-pemuda bukan Islam dalam banyak pertemuan, berjanji akan menyokong Hanafiah, wakil rakyat yang mereka sukai.
 
“Namun begitu, saya dan pasukan Pemuda Cukai tetap tidak memandang rendah keupayaan lawan, walaupun PAS diyakini akan menguasai kembali Dun Chukai bagi PRU yang bakal menjelma dengan membuat kerja sambil lewa.
 
Dan bagi memastikan impian itu direalisasikan, Pemuda Chukai telah, sedang dan akan mengorbankan segala bentuk keperluan seperti kewangan, tenaga fizikal dan kemudian bertawakal kepada Allah diatas usaha mereka itu,” akuinya.
 
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Penerangan PAS Terengganu YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid, Adun Cukai, Haji Hanafiah Mat dan Ketua Pemuda Kemaman, Ustaz Ramlan Mahmood. -HARAKAHDAILY 27/2/2018
- Advertisement -