Pemimpin wajib beri kemudahan setara kepada rakyat

- Advertisement -
BATU SAPI: Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Sahar Abdul Majid menegaskan agar pemimpin perlu memastikan rakyat dibawah pentadbirannya dibela sehingga hak mereka dipenuhi.
 
Tegasnya, pemimpin yang dilantik oleh rakyat dalam pilihan raya bertanggungjawab memberikan  kemudahan pembangunan yang sama rata dengan kawasan lain.
 
Perkara itu dinyatakannya ketika berucap dalam Sukan Rakyat anjuran PAS Batu Sapi yang diadakan di Kampung Sundang Laut, di sini kelmarin.
 
Tambahnya, wakil rakyat perlu menyediakan prasarana yang kondusif seperti air, elektrik dan rumah kepada penduduk yang diwakilinya kerana perkara ini adalah hak rakyat yang perlu diperjuangkan.
 
“Contohnya elektrik, kenapa di kawasan lain diselenggara langsung oleh SESB sedangkan kampung ini diurus oleh syarikat swasta yang menyebabkan rakyat menanggung beban?
 
“Ini tidak adil, sewajarnya pemerintah berlaku adil kepada semua rakyat, tidak pilih kasih dalam hal memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.
 
Sahar mengingatkan bahawa amanah kepimpinan ini akan ditanya di akhirat kelak sejauh mana seseorang pemimpin itu melaksanakan tanggungjawabnya.
 
Beliau juga memberikan komitmen PAS untuk membantu rakyat agar terbela dalam isu seperti elektrik dan tanah.
 
“PAS akan mengadakan bantahan kepada SESB dan meminta mereka mengambil alih urus tadbir elektrik ini agar tidak lagi diselenggara oleh syarikat swasta.
 
“Bukan itu sahaja, jika diberi peluang menjadi wakil rakyat PAS akan berusaha agar tanah yang diduduki oleh penduduk kampung kini diberi hak mutlak kepada orang kampung bukannya lagi atas nama pihak lain,” katanya disambut tepukan penduduk kampung. -HARAKAHDAILY 26/2/2018
- Advertisement -