Alami pemerintahan baharu akan dibawa Gagasan Sejahtera

- Advertisement -

ALOR SETAR: Gagasan Sejahtera akan menunaikan amanah pemerintahan dengan betul dan mahu rakyat membuat pilihan yang benar pada PRU14 nanti, demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

“Beri peluang pada Gagasan Sejahtera satu penggal, tengok apa kita buat. Kalau tak percaya, boleh tolak kita pada pilihan raya yang berikutnya. Kita bukan nak memerintah duduk atas kerusi dengan tidak menunaikan amanah secara betul.

“Kita mahu rakyat menyertai pilihan raya menunaikan amanah memilih pemimpin yang benar-benar amanah, bukan namanya sahaja amanah,” ujarnya.

Beliau berpidato demikian pada Pelancaran Gagasan Sejahtera Peringkat Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, PAS bersama Gagasan Sejahtera akan bertanding sekurang-kurangnya 130 kerusi pada PRU14 nanti bertujuan untuk memerintah negara atau setidaknya menjadi‘King Maker’.

Jelasnya,‘King Maker’ bermakna akan menjadikan mana-mana parti politik yang tidak boleh menubuhkan kerajaan dengan jumlah kerusi dimiliki melainkan bergantung dengan PAS dan Gagasan Sejahtera.

Menerusi kedudukan itu terang beliau, PAS selaku peneraju Gagasan Sejahtera akan meletakkan syarat-syarat pemerintahan yang mesti diikuti untuk bersama dalam sebuah kerajaan.

Beliau menerangkan, pada persefahaman lalu rakan-rakan yang tidak setia telah melanggar dasar dan matlamat PAS iaitu Islam, maka PAS mesti bersendiri dan membuat gagasan baharu itu.

Tuan Guru terlebih dahulu menceritakan pengalaman lampau PAS di atas pendekatan Muwajahah Silmiyah di mana walaupun bertembung dahsyat dengan Umno, tetapi menerima menyertai kerajaan campuran selepas 1969.

Seterusnya kata beliau, menyertai BN 1974 setelah syarat-syarat berkaitan ketinggian kedudukan Islam diterima hingga dapat menimbulkan kesedaran Islam di banyak peringkat negara.

“Di atas Islam inilah PAS boleh hidup dan makin berkembang. Walaupun kalah pilihan raya, PAS tidak mati. PAS bukan macam parti lain, kalah pilihan raya, akhirnya mati.

“Kita tidak, kerana akar umbi kita ialah Islam dan terus mengamalkan sikap terbuka. PAS menjadi mangsa, ditenyeh, ditekan dan ditindas sehingga kita menghadapi cabaran luar dan cabaran dalaman,” ungkapnya yakin.

Lanjutnya, Tuan Guru menerangkan PAS dipecat dari BN tahun 1979 hingga tertubuhnya Berjasa kerana krisis di Kelantan, namun usaha PAS dalam politik terhadap penyelesaian masalah-masalah negara diteruskan dengan gabungan lain.

Jelasnya, PAS setelah ituTahaluf Siyasi dengan Semangat 46, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, namun tidak berjaya meningkatkan perjuangan Islam dibawanya.

“Apa yang menggembirakan saya, gagasan baharu disertai oleh rakan-rakan Berjasa yang dulunya kita. Tokoh-tokoh PAS yang dahulunya meninggalkan kita, kembali bersama kita.

“Ustaz Nakhaie (Ahmad) ada sama malam ini dan banyak lagi bersama-sama kita. Kita membawa pendekatan baharu, bukan sahaja pemerintahan berkonsep pemimpin politik, kita perkenalkan (juga) konsep Kerajaan Teknokrat.

“Yang tidak melibatkan orang politik yang bertanding pilihan raya sahaja. Pemerintahan teknokrat boleh melibatkan orang-orang yang tidak bertanding pilihan raya,” perincinya kepada kalangan ilmuwan atau pakar.

Akui beliau, PAS mempunyai ramai individu dan tokoh yang berada di hadapan dan belakang untuk menunjuk cara memerintah negara dengan sebenar-benarnya.

Beliau mengemukakan renungan betapa Allah S.W.T melahirkan Nabi Muhammad S.A.W di negeri Makkah yang kontang tanpa hasil, namun Islam boleh memerintah dan menguasai dunia.

“(Tetapi) Bagaimana orang Islam duduk dalam negeri (Malaysia) yang subur, yang ada hasil, tak boleh memerintah negara dengan betul? Di mana kesilapannya, (ini) mesti dibetulkan,” ujar beliau penuh semangat.

Tuan Guru turut menegaskan, pemerintahan digagaskan itu juga tidak terikat dengan politik wang dan tidak terikat dengan pilihan raya. – HARAKAHDAILY 26/2/2018

- Advertisement -