AGROGEMS berjaya lahirkan generasi muda agro

- Advertisement -
SHAH ALAM: Julung kalinya, Majlis Malam Aspresiasi Usahawan Agrogems dan Industri Asas Tani Selangor 2018 telah meraikan kejayaan 13 usahawan tani dan usahawan Industri Asas Tani (IAT) dengan pemenang menerima trofi dan sijil serta insentif berbentuk bantuan peralatan.
 
Pemenang-pemenang yang diraikan merupakan sebahagian program Agro Generasi Muda Selangor yang telah bermula sejak tahun 2015 sehingga 2017.
 
Menurut Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib di bawah program AGROGEMS sepanjang tempoh empat tahun program berlangsung telah melibatkan seramai 1,100 golongan muda yang menceburkan diri dalam sektor pertanian sebagai sumber ekonomi utama.
 
“Bermula dari tahun 2015 sehingga 2017, hasil dari program seminar tersebut, kerajaan Selangor telah menyalurkan sejumlah hampir RM1.5 juta kepada seramai 103 penerima yang terdiri daripada pelbagai bidang usahawan tani.
 
“Melalui pemantauan yang dibuat oleh pihak jabatan, laporan yang diterima menunjukkan penerima-penerima bantuan melalui program AGROGEMS untuk tahun 2015 hingga 2016 adalah seramai 65 penerima bantuan,” katanya pada Majlis Aspresiasi Usahawan AGROGEMS dan Industri Asas Tani yang diadakan di Wisma PKPS, di sini semalam.
 
Tambahnya hasil usaha tersebut menunjukkan kesan positif di mana data hasil jualan menunjukkan peningkatan sehingga 63 peratus dari sebelum menerima bantuan peralatan dan hanya 6 peratus gagal disebabkan oleh faktor tanah yang tidak disambung penyewaan. -HARAKAHDAILY 24/2/2018
- Advertisement -