PAS Dun Sura buat laporan polis

- Advertisement -

DUNGUN: Satu laporan polis dibuat oleh Majlis Tindakan Dun (MTD) Sura terhadap tindakan provokasi dan pengkhianatan pihak yang tidak bertanggungjawab kepada PAS.

- Advertisement -

Setiausaha MTD Sura, Muhamed Ibrahim Sini Muhamed melahirkan rasa dukacita di atas tindakan provokasi itu terhadap PAS.

Menurutnya, ada pihak cuba mencetuskan provokasi dengan merosakkan banner dan pintu gerbang PAS sempena majlis Pelancaran Unit Peti Undi (UPU) Alor Tembesu dan Sura Gate di Jalan Yahaya Ahmad, Bandar Dungun.

“Saya mewakili pihak MTD Sura rasa amat dukacita dengan apa yang berlaku yang boleh mencetuskan kemarahan dan pergaduhan.

“Mereka buat khianat terhadap banner dan pintu gerbang yang dipasang oleh pihak pemuda-pemuda PAS Dun Sura. Apatah lagi kini sudah hampir musim pilihan raya,” ujarnya kepada Harakah selepas membuat laporan polis di Ibu Penjabat Daerah (IPD) Polis Dungun, semalam.

Katanya, perbuatan khianat itu dipercayai dilakukan sekitar jam 3.30 hingga 4.30 pagi setelah kerja-kerja persiapan itu selesai pada jam 2.00 pagi.

Namun, menurutnya program itu diteruskan oleh PAS dan sekali gus telah membangkitkan semangat ahli-ahli parti dengan tindakan itu.

“Kita (PAS) mahu politik matang yang boleh berbeza pendapat tetapi tidak boleh bergaduh dan berperang antara satu sama lain. Perbuatan ini telah mencetuskan kemarahan ahli-ahli parti yang tidak berpuas hati,” jelasnya.

Harakah dimaklumkan, Dun Sura mempunyai 11 UPU yang terdiri dari UPU Sungai Penaga, Sungai Buaya, Kampung Nibong, Bukit Catak, Alor Tembesu, Tanah Lot, Kampung Molek, Teluk Lipat, Sura Gate, Sura Utara dan UPU Padang Jambu.

PAS Dun Sura akan mengadakan pelancaran markaz-markaz UPU yang lebih banyak pada bulan Februari ini sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Dewan Undangan Negeri (Dun) Sura ini disandang oleh PAS sejak beberapa penggal lalu yang kini diwakili oleh Cikgu Wan Hapandi Wan Nik sebagai wakil rakyatnya. -HARAKAHDAILY 23/2/2018

 

- Advertisement -