Peranan politik PAS masih diharap kaum Tionghua

- Advertisement -
REMBAU: Kritikan masyarakat Cina terhadap pelbagai isu-isu kronik yang membelengu negara menunjukkan kaum tersebut peka dan sensitif serta menolak segala bentuk penyelewengan dan salah urus tadbir pemerintah.
 
Yang DiPertua PAS Kawasan Rembau, Mohamad Hassan Tamby berkata, kaum Tionghua kembali menilai secara kritikal dan hakikat terhadap perkembangan politik serta menunjukkan angin perubahan positif.
 
Lebih ketara menurutnya, mereka terbuka dan sedia berkongsi pandangan serta luahan kepada pihak PAS yang sekali gus menyangkal dakwaan kononnya masyarakat Cina telah menolak parti Islam ini.
 
“Mereka sedang menilai pendekatan dan solusi dikemuka PAS yang menggagaskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), serta kandungan Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051.
 
“Maklumat alternatif ini misalnya perbincangan mengenai isu dan penyelesaian diutara PAS terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) antaranya menyedarkan mereka untuk lebih memahami antara PAS, BN dan PH,” maklumnya.
 
Tidak sekadar itu, masyarakat Cina juga kata Hassan, prihatin terhadap hal ehwal awam terutama melibatkan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melaksanakan peranan sewajarnya selaras cukai dibayar.
 
Sehubungan itu katanya, PAS sememangnya parti yang paling sesuai mengambil tanggungjawab untuk menguruskan semua lontaran berkaitan dengan menggerakkan fungsi Penyelia Dun atau Pusat Aduan Rakyat (PAR).
 
Jelasnya, menerusi wadah tersebut, ianya membolehkan PAS membuktikan hakikat sebenar terhadap kesungguhan dan usaha digerakkan dalam pelbagai agenda berkebajikan dan sejahtera yang diuar-uarkan.
 
Mohamad Hassan percaya, dengan cara itu seterusnya membina semula keyakinan dan menghapuskan persepsi serta salah sangka kaum itu terhadap PAS yang dimomok dengan pelbagai fitnah dan tuduhan oleh musuh politik selama ini. -HARAKAHDAILY 23/2/2018
- Advertisement -