Mengapa berselindung disebalik nama?

- Advertisement -

SUNGGUH geli hati apabila membaca berita terbitan portal pro PH, The Malaysian Insight (TMI). Saban hari, ada sahaja berita yang diterbitkan khusus berkenaan PAS. Modus operandi TMI 2.0 ini sama sahaja dengan portal dahulu, The Malaysian Insider yang sudah pun tutup dan kini hanya berubah nama sahaja. TMI ini seangkatan sahaja agenda dan strategi medianya seperti portal Malaysiakini, Free Malaysia Today dan The Malaymail. PAS adalah sasaran menu utama serangan mereka dengan penerbitan berita yang berunsur manipulasi, fitnah, persepsi, spin yang memburukkan imej PAS.

- Advertisement -

Agenda media ini ditentukan oleh mereka yang di sebalik tabir iaitu editor dan pemilik empunya portal berita. Cuba kita selidik dan siasat siapakah pemilik portal TMI, Malaysiakini, Free Malaysia Today dan The Malaymail? Mengapa portal ini sering menyiarkan berita yang menyentuh sensitiviti umat Islam dan memperlekehkan institusi yang berjenama Islam seperti Mahkamah Syariah, Jakim, Mufti? Mengapa portal ini sering mengangkat berita daripada kelompok minoriti yang berfahaman Muslim Liberal seolah mereka mewakili suara majoriti umat Islam? Suara individu seperti Siti Kasim, Zaid Ibrahim, Kumpulan G 25, SIS, IRF sering menjadi liputan utama berita portal ini.

Portal sebegini juga sering menyiarkan pandangan individu yang merupakan penyokong dan pendukung PH tetapi menggunakan gelaran penganalisis politik, pakar perlembagaan, pengkaji bebas, badan penyelidik dan ahli akademik. Adakah mereka benar-benar penganalisis politik yang bebas dan adil?

Contoh mudah, portal TMI hari ini menerbitkan berita yang bertajuk “Tanpa imej sederhana, PAS hanya satu lagi Umno, kata penganalisis”. Pandangan penganalisis yang dimuatkan ialah Dr Mazlan Ali, Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Apabila kita selidiki, Dr Mazlan Ali antara penggiat yang terlibat dengan PAN. Beliau antara yang memberi pengisian kepada ahli PAN di Kuala Lumpur.

Mana mungkin orang PAN mahu menyokong pendekatan dan pendirian PAS. Jadi, adakah adil TMI memetik pandangan Dr Mazlan Ali ini dengan menggunakan gelaran ‘Penganalisis Politik’ sedangkan hakikatnya dia ialah penyokong PAN?

Sebelum ini, portal TMI juga menyiarkan pandangan Dr Mazlan Pro PAN ini dalam berita yang bertajuk;
“Hadi bakal hilang kerusi sendiri akibat salah perancangan”
“Pakatan akan gagalkan rancangan PAS tawan Terengganu”
“Pengundi senyap tidak akan undi PAS dalam PRU14”
“Kenapa Hadi Awang yakin PAS jadi penentu kuasa”
“Apa taktik PAS kekang ahlinya sertai Amanah?”

Kepada Wartawan TMI, Melati A. Jalil yang menulis berita bertajuk “Tanpa imej sederhana, PAS hanya satu lagi Umno, kata penganalisis”, saya ingin perbetulkan penyelewengan dan penipuan yang saudari tulis dalam berita tersebut;

TMI bohong:
“Nik Aziz sering mengkritik isu rasuah dalam kerajaan dan sangat lantang bercakap tentang skandal 1MDB.”

Fakta benar: Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz meninggal pada Februari 2015 sedangkan hal 1MDB ini mula menjadi fokus utama awam selepas pada itu. 

Sila buktikan di mana kenyataan Almarhum Tok Guru Nik Aziz berkenaan 1MDB? PAS sejak dahulu sehingga sekarang masih tegas dan konsisten melawan dan mengkritik isu rasuah. Pemimpin PAS masih memegang rekod bersih daripada sebarang salah laku rasuah. Sebaliknya, pemimpin tertinggi PH si Lim Guan Eng antara yang sudah diheret ke mahkamah kerana kes rasuah.

TMI bohong:
“Kenaikan pangkat Abdul Hadi Awang ke jawatan tertinggi susulan kematian Nik Aziz, juga tidak membantu parti Islam itu. Hadi menjadi lebih mesra dengan Presiden Umno dan Perdana Menteri Najib Razak dan kelihatan seirama dengan kebanyakan dasar yang dibawa Umno.”

Fakta benar:
Sejak bila pula Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang naik pangkat selepas kematian Almarhum Tok Guru Nik Aziz? Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menjadi Presiden PAS pada tahun 2002 sehingga sekarang. Ketika Almarhum Tok Guru Nik Aziz menjadi Mursyidul Am PAS, teman gandingan yang menjadi Presiden PAS ialah Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Selepas Almarhum Tok Guru Nik Aziz meninggal dunia, jawatan Mursyidul Am PAS disandang oleh Almarhum Dato’ Dr Haron Din.

Sejak bila pula PAS kelihatan seirama dengan kebanyakan dasar yang dibawa Umno? Dasar PAS tidak pernah berubah iaitu Islam semenjak penubuhannya tahun 1951 sehinggalah sekarang tahun 2018. PAS tegas menentang ideologi nasionalisme, sekularisme dan juga liberalisme yang begitu diperjuangkan oleh PH.

Persoalan Presiden PAS yang dituduh mesra PM Najib, adakah menjadi kesalahan dan dosa untuk beliau duduk sepentas berkenaan perjuangan umat Islam yang dizalimi iaitu Rohingya dan Gaza? Bagaimana pula dengan pemimpin ulung DAP, Lim Guan Eng yang begitu mesra memegang erat tangan PM Najib dan memeluk TPM ketika banjir melanda Pulau Pinang hujung 2017 lalu? Oh, oleh kerana ia dibuat oleh pemimpih PH, ianya tidak pula menjadi isu besar bahkan dipuji kerana berjiwa besar merentas sempadan politik. Apabila pemimpin PAS, ianya adalah salah, haram dan bukti UG.

Kepada warga TMI, berlaku jujur dan teluslah dalam pemberitaan. Usahlah berselindung di sebalik nama. Gelaran penganalisis politik, pakar perlembagaan, pengkaji bebas, badan penyelidik dan ahli akademik sepatutnya digunakan dengan betul. Jikalau mereka penyokong PH, nyatakan sahajalah. Mengapa mahu berselindung di sebalik nama?

Catatan oleh
SYED AHMAD FADHLI
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
22 Februari 2018 – HARAKAHDAILY 22/2/2018

- Advertisement -