Masej dakwah di ARC Bike Fest

- Advertisement -
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperluaskan skop dakwah melangkaui sempadan masjid atau surau.
 
Kali ini konsep dakwah mengunakan pendekatan ukhuwah dan persaudaraan sempena ARC Bike Fest yang akan bermula hari ini sehingga 25 Februari ini.
 
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, sebelum ini kefahaman masyarakat terhadap dakwah agak sempit.
 
“Kadang-kadang orang rasa berat sangat perkataan dakwah, ingat hendak pergi mengajar agama sahaja. Sedangkan banyak lagi kegiatan lain dalam bentuk uhkuwah juga boleh menjadi salah satu cara berdakwah.
 
“Konsep dakwah kali ini diserlahkan di ARC Bike Fest. Pemilik motosikal berkumpul dengan melakukan pelbagai aktiviti,” katanya di persidangan di Kota Darulnaim semalam.
 
Sempena program itu esok, peserta akan berkonvoi ke Pondok Beta Hulu yang terbakar baru-baru ini bagi melaksanakan program kebajikan.
 
Manakala petangnya akan diadakan program bual bicara bersama selebriti dakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus.
 
Manakala pada hari terakhir peserta akan diraikan pada majlis makan malam bertempat di Putik.
 
Abdul Fattah berkata, sebelum ini pernah dianjur Bike Weeks atau Bike Fest, namun kali ini ARC Bike Fest dengan matlamat merapatkan ukhuwah dan persaudaraan.
 
“ARC Bike Fest penting kerana anjakan baru kepada anak-anak muda khususnya peminat-peminat motosikal,” katanya.
 
Menurutnya juga program itu dianjur Urusetia Belia dan Sukan (U-bes) dengan kerjasama ARC Malaysia, dirancang sejak tahun lepas.
 
Dijangka seramai 5,000 peserta menyertai program berkenaan termasuk dari Thailand. -HARAKAHDAILY 23/2/2018
- Advertisement -