Konvoi RADU ARC jelajah Sabah-Sarawak-Brunei

- Advertisement -
ALTERNATIVE Riding Club (ARC) Negeri Sabah telah menganjurkan Konvoi RADU 2018, yang berakhir pada 19 Febuari lepas. Program selama 3 hari 2 malam itu merupakan salah satu acara tahunan ARC Sabah selepas kejayaan pelaksanaan Konvoi Amal pada tahun lepas.
 
Objektif utama program ini adalah beradasarkan nama program ini sendiri, iaitu merupakan akronim daripada perkataan Riadah, Amal, Dakwah dan Ukhuwah. Sama seperti penganjuran Konvoi Amal tahun lepas, ARC yang sinonim dengan program riadah bermotosikal, dengan slogannya “We Ride for Charity” mengumpulkan sejumlah dana untuk disumbangkan kepada pusat pendidikan Islam sebagai aspek amal jariah dalam program, menerapkan nilai kerohanian kepada peserta melalui aktiviti seperti solat berjamaah dan tazkirah sebagai elemen dakwah serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan peserta.
 
Program bermula sejak 16 Februari 2018, bertempat di SRITI An-Nawawi Papar. Di sana, semua peserta berkumpul seawal jam 6 petang lagi untuk persediaan majlis perasmian pada waktu malam. Aktiviti bermula dengan solat maghrib dan isyak secara berjamaah, tazkirah ringkas serta solat hajat, memohon kepada Allah akan kelancaran sepanjang program.
 
Majlis perasmian dan penyerahan sumbangan berupa wang tunai kepada SRITI An-Nawawi disempurnakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Ustaz Zulzaim Hilmi Abidin. Beliau dalam ucapan perasmiannya telah menyebutkan bahawa ARC di negeri Sabah merupakan salah satu tulang belakang kepada kekuatan pemuda Islam yang telah banyak memberikan sumbangan dalam aspek dakwah dan pembentukan sahsiah kepada anak muda. 
 
Beliau menambah, walaupun begitu banyak program lain yang perlu dihadiri pada waktu tersebut, terpaksa dikorbankan demi kebersamaannya dengan program bersama ARC bermula pada malam tersebut sehingga konvoi selesai.
 
Seramai 46 orang ahli ARC menyertai konvoi ini dari pelbagai daerah, seperti Sandakan, Kota Belud, Tuaran, Sepanggar, Putatan, Keningau, Papar, serta peserta dari ARC negeri Pahang dan ARC negeri Selangor.
 
Sebelum bertolak, semua peserta diberikan taklimat keselamatan oleh Ketua Unit Kembara ARC Sabah, Limo Lagonda berkenaan etika pemakaian dalam aspek keselamatan, tatacara peserta semasa berkonvoi, kawalan motosikal bagi mengelakkan kemalangan, isyarat tangan serta penyusunan marshall yang mengawal pergerakan peserta.
 
Sebanyak 40 buah motosikal pelbagai jenis dan 2 buah kereta mula bertolak pada jam 7 pagi, menuju ke PASTI As Sakinah Membakut untuk menyampaikan sumbangan sekaligus bersarapan di sana. Penyerahan sumbangan di PASTI As-Sakinah telah disempurnakan oleh Setiausaha ARC Malaysia, Ismail Ibrahim.
 
Perjalanan konvoi dari Membakut diteruskan sehingga ke Limbang dengan jarak kira-kira 200km melalui beberapa daerah seperti Beaufort, Sipitang, kemudian memasuki daerah Lawas di Sarawak, seterusnya melalui daerah kecil di negara Brunei Darussalam sebelum tiba di Limbang untuk berhenti solat, rehat dan makan tengahari.
 
Dari Limbang, perjalanan diteruskan ke destinasi seterusnya iaitu ke Miri, Sarawak selepas melalui daerah Limbang serta beberapa kawasan di negara Brunei, sejauh kira-kira 180km sebelum tiba di tempat penginapan, iaitu PASTI Ar-Rayyan, Senadin di Miri. Pada malam itu, selepas menunaikan solat, semua peserta mengambil peluang untuk bertaaruf dalam keadaan santai sambil berehat.
 
Hari kedua program dimulakan dengan solat subuh berjamaah dan tazkirah subuh yang disampaikan oleh Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhtar Suhaili yang juga merupakan AJK PAS Pusat yang berasal dan menetap di Miri Sarawak.
 
Beliau dalam tazkirah ringkasnya menegaskan beberapa perkara utama kepada para pemuda khususnya peserta konvoi tersebut agar menjadi seorang muslim yang berjuang untuk Islam walau dari profesion yang bukan berlatar belakang agama, kerana kewajipan untuk berjuang menegak dan mengembalikan kegemilangan kerajaan Islam adalah tanggungjawab semua umat Islam lebih-lebih lagi kepada para pemuda.
 
Selain itu, beliau menambah supaya ahli ARC menjadi duta Islam kepada masyarakat, samada di tempat kerja, bersama keluarga atau bersama rakan-rakan. Dalam hal tersebut, ahli ARC perlu menonjolkan qudwah yang baik, kerana usaha dakwah melalui perbuatan lebih berkesan berbanding dengan secara lisan, sekaligus membawa imej yang baik kepada Islam dan menjadi salah satu aspek masyarakat tertarik kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang semakin hari semakin diterima khususnya di Sabah dan Sarawak.
 
Selesai sarapan, konvoi diteruskan ke Bintulu untuk menyampaikan sumbangan kepada salah satu pusat pendidikan Islam di sana. Perjalanan dari Miri ke Bintulu adalah kira-kira sejauh 220km yang mengambil masa selama 4 jam kerana keadaan jalanraya yang tidak begitu baik. Selesai menyampaikan sumbangan dan solat, peserta konvoi berhenti rehat dan makan tengahari di Restoran Dapo Bonda, sebelum sesi fotografi dan bertolak balik ke Miri.
 
Hari terakhir program pada 19 Febuari adalah perjalanan pulang ke Sabah. Para peserta mengambil peluang untuk bersiar-siar di yang menarikh sekitra Bandar Seri Begawan Brunei Darussalam, iaitu di Jerudong Park, Istana Nurul Iman, Masjid Omar Ali Saifuddin serta Masjid Sultan Hassanal Bolkiah. Tepat jam 8.30 malam, semua peserta selamat tiba di pos imigresen Sarawak-Sabah di Sindumin Sipitang. Di sana, semua peserta berkumpul semula untuk sesi penutup sebelum bertolak balik ke destinasi masing-masing 
 
Maklumbalas daripada peserta konvoi ini, mereka sangat berpuas hati dengan penganjuran program ini, khususnya peserta yang pertama kali menyertai program bersama ARC mendapat pengalaman baru, kerana kelainan yang diterapkan, iaitu aspek kerohanian yang tidak pernah dilalui dalam siri konvoi yang pernah disertai sebelum ini. -HARAKAHDAILY 21/2/2018
- Advertisement -