Angkat semula Tun M kerja tidak waras

- Advertisement -
SETIAWANGSA: Perjuangan Pakatan Harapan untuk mengangkat semula Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri adalah kerja tidak waras, demikian bidas Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Malaysia, Nurul Islam Mohamad Yusof.
 
Katanya, selama 22 tahun pentadbirannya dipenuhi pelbagai penindasan dan penyelewengan serta ditentang kuat pembangkang, tetapi kini mereka mahu mengangkatnya di kedudukan itu semula.
 
Perkara itu dinyatakannya pada Ceramah Kelompok PAS Kawasan Setiawangsa 3.0 di Perumahan Awam Seri Semarak, PPR Semarak, Ayer Panas Setapak, di sini kelmarin.
 
Menurutnya, Tun M juga telah terpalit dengan skandal kerugian matawang asing melibatkan puluhan bilion ringgit, penyelamatan konsortium perkapalan, Perwaja dan lainnya, selain berkaitan rasuah serta ketirisan.
 
Di mana semua itu ujarnya, melanda hingga kini termasuk seperti NFC, tanah Felda, 1MDB dan lainnya menyebabkan beban ekonomi di alami rakyat dan kos sara hidup meningkat.
 
Hal itu terangnya, berbeza dari pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS yang bersih dari salah laku rasuah selain agensi kerajaan negeri menerima anugerah lima bintang pentadbiran dan jabatan audit.
 
Sementara itu, Penolong Setiausaha Agong PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil menyifatkan PAS telah terkehadapan dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051.
 
Jelasnya, semua solusi itu adalah panduan kepada dasar pemerintahan akan diacuankan PAS yakni Islam yang bersifat rahmah dan sejahtera, menggantikan kerajaan sekular membawa sifat kapitalis menindas.
 
Beliau dalam ceramahnya itu turut menjelaskan penyelesaian PAS terhadap tekanan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta bentuk pentadbiran berasaskan pengasingan kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman yang didahului Islam.
 
Turut berucap pada majlis itu adalah Naib Yang DiPertua PAS Setiawangsa, Idris Yaacob dan Ketua Pemuda PAS Setiawangsa, Ustaz Ubaid Abd Akla. -HARAKAHDAILY 21/2/2018
- Advertisement -