Terap penduduk kepada ilmu pengurusan jenazah

- Advertisement -
BATU SAPI: Lajnah Hal Ehwal Wanita (HALWA) PAS Kawasan Batu Sapi telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah siri pertama di kediaman Kirino Jaid, Kampung Seng Kee, di sini kelmarin.
 
Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Sandakan, Nurfaezah Junaidi inisiatif itu dalam usaha membina kesedaran khususnya generasi muda untuk terbabit dalam urusan fardu kifayah berkenaan.
 
“Ilmu pengurusan jenazah semakin jauh dari diri anak muda sekarang, kita lihat hanya orang-orang veteran yang sering menguruskan jenazah dalam upacara pengebumian,” katanya.
 
Beliau berharap menerusi kursus itu memberi ilmu dan pendedahan agar dapat menangani kelewatan pengurusan jenazah dan pengendalian dalam kalangan jiran atau keluarga terhampir.
 
Menerusi penganjuran tersebut juga, Ketua Lajnah Tarbiyah PAS Kawasan Libaran, Shuhadah Gazali yang turut menjadi tenaga pengajar, mengingatkan hakikat kematian kepada semua peserta.
 
“Setiap yang hidup pasti akan mati. Yang masih hidup adalah wajib menguruskan jenazah si mati dengan sebaiknya dan hanya orang Islam sahajalah sebaik-baik individu yang berhak menguruskan jenazah saudaranya,” jelasnya.
 
Pesan beliau, semua peserta mesti mempraktikkan ilmu dipelajari pada kursus itu supaya dapat mengukuhkan keyakinan dan memupuk keberanian dalam diri.
 
Turut hadir dalam kursus tersebut ialah Ketua Unit Dakwah HALWA PAS Batu Sapi, Nailah Manap serta beberapa anggota Muslimat yang bertindak selaku pemudahcara. -HARAKAHDAILY 20/2/2018
 
- Advertisement -