Pengabaian dan dasar BN buatkan penoreh tersepit

- Advertisement -

SIK: Kejatuhan harga getah di pasaran ketika ini menyebabkan para penoreh mengalami waktu sukar yang menjadi situasi bencana kepada mereka, demikian menurut, Pengerusi Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Katanya, dengan ikan termenung yang sinonim sebagai ‘ikan rakyat’ mencecah harga RM18 sekilogram, menambahkan lagi kesusahan penoreh yang harga getah cuma RM2.10 sekilogram.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Himpunan Fastaqim Peringkat PAS Kawasan Sik di Tapak Pasar Malam Gulau, di sini kelmarin.

Beliau juga membidas, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan kepada rakyat oleh kerajaan membebankan lagi keadaan penoreh.

Jelasnya, golongan penoreh semakin tersepit dan tidak mustahil GST akan dinaikkan oleh kerajaan sekiranya Umno-BN kekal memerintah selepas PRU14 nanti.

Tegas beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Kedah, PAS membantah GST dengan memberikan penyelesaian alternatif kepada kerajaan melalui cukai yang dikenakan kepada pemain saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan cukai koporat, bukannya cukai kepada rakyat.

Terang Sanusi, simpanan modal di BSKL berjumlah RM1.6 trilion dan kerajaan akan mendapat RM55 bilion setahun jika dikenakan cukai ke atasnya pada kadar 2.5 peratus seperti kadar zakat.

“Dengan kadar 6 peratus, GST merupakan satu malapetaka besar buat rakyat walaupun kerajaan mengatakan GST penyelamat ekonomi negara. Hakikatnya ekonomi negara tidak stabil kerana berlaku ketirisan di sana sini akibat salah urus kerajaan dalam perbelanjaan.

“Malangnya kerajaan pada hari ini terlalu sibuk menjaga kroni dan kuasa dari menyelesaikan permasalahan ekonomi rakyat sehingga cadangan penyelesaian dari PAS ditolak walaupun ramai pakar ekonomi bersetuju dengan cadangan PAS.

“Kita mohon kerajaan bantu penoreh dengan menaikkan harga getah sehingga RM4 dan RM5 sekilo dan menetapkannya menjadi harga lantai dan bukannya memberi bantuan sehala (one  off) secara bermusim kepada penoreh,” ajunya.

Tambah beliau, Sik khususnya di Gulau hampir kebanyakan penduduknya bekerja sebagai penoreh dan dengan harga komoditi itu yang murah telah membantutkan ekonomi Sik kerana kuasa membeli penduduk yang lemah.

Beliau dalam nada kesal turut berkata, PAS tidak dibenarkan untuk menggunakan stadium, padang-padang awam di negeri Kedah untuk diadakan program kerana disekat.

Walhal katanya, semasa PAS memerintah dahulu, Umno bebas menggunakan mana-mana padang awam sekiranya membayar sewa.

Oleh itu beliau mengajak seluruh rakyat Kedah dari mana-mana parti untuk memberi undi kepada PAS pada PRU 14 ini dan memenangkan semula PAS sepertimana PRU12 lalu seterusnya membina semula negeri Kedah dan negara dengan acuan Islam. -HARAKAHDAILY 20/2/2018

- Advertisement -