Pasak tarbiyah agar mampu hadapi cabaran massa

- Advertisement -

SANDAKAN: Tarbiyah merupakan tunjang utama bagi Pemuda PAS hari ini ketika berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran massa, demikian ditegaskan Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah, Masru Mustaqeem.

- Advertisement -

Menurutnya, Pemuda PAS perlu memperkasakan tarbiyah seperti usrah, tamrin dan seumpamanya kerana ia adalah kekuatan teras sebagai sebuah jemaah Islam.

Masru mengutarakan perkara tersebut ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Sandakan Kali Ke-16 di Pejabat PAS Sandakan, sini kelmarin.

Beliau turut menekan beberapa aspek yang melibatkan tarbiyah terutama akidah dan keyakinan di mana merupakan penyebab Pemuda PAS berani mengambil sebarang risiko dalam perjuangan.

“Dosa pahala itu sebahagian dari perkara ghaib, jika kita percaya dengan ini akan membolehkan kita istiqamah dengan gerak kerja perjuangan walaupun menghadapi susah payah,” jelasnya.

Masru turut menjelaskan kepada perwakilan dan pemerhati berkenaan keuntungan yang diperolehi selepas Presiden PAS menggagaskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Terangnya, setelah Tuan Guru Presiden membawa BPMS sebagai pendekatan politik semasa PAS, akhirnya ramai yang mendekati PAS serta keahlian PAS semakin bertambah.

Katanya lagi, di dalam PAS terlalu banyak cabaran dan rintangan dihadapi, justeru sebagai pendokong gerakan Islam perlu ada sifat sabar dalam diri bagi memenangkan Islam.

“Jika sabar tidak ada dalam diri akan mudahlah kita tersungkur dalam gerakan jemaah ini,” ujarnya. -HARAKAHDAILY 20/2/2012

- Advertisement -