PAS tempuhi arah jelas politik biarpun dihalang

- Advertisement -
SIK: PAS bukan parti bermusim yang masuk pilihan raya untuk kuasa atau jawatan, tetapi juga adalah gerakan Islam di mana mempunyai tanggungjawab berat mahu menyelamatkan akidah umat dan mensejahterakan sejagat melalui pemerintahan Islam.
 
Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid menegaskan perkara demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Himpunan Fastaqim PAS Kawasan Sik di Tapak Pasar Malam Gulau, di sini kelmarin.
 
Sehubungan itu katanya, PAS berdakwah kepada rakyat Malaysia melalui saluran politik agar mendapat mandat kuasa kerajaan supaya Islam dapat dilaksanakan di bumi Malaysia sesuai dengan perintah Allah.
 
Membangunkan motivasi para pendukung PAS, beliau menegaskan, sikit atau banyak ahli bukan menjadi ukuran, kerana sirah perjuangan Nabi S.A.W dan para Sahabat R.A yang kecil bilangan mampu menewaskan bala tentera besar dengan izin Allah.
 
PAS katanya, sudah melalui pengalaman panjang jatuh bangun naik turun dalam arena politik negara sejak sekian lama menang dan kalah serta memerintah, termasuk dijatuhkan.
 
Malah PAS akuinya, sangat faham akan sepak terajang dunia politik berbanding parti lain yang mendabik dada kononnya merekalah terhebat, walhal usia mereka baru setahun jagung.
 
“Sudah menjadi sunah perjuangan, gerakan Islam ini akan sentiasa difitnah, dicerca, dimaki dan dimusuhi oleh golongan munafik dan kuffar yang tidak senang dengan kedudukan Islam,” peringatnya.
 
Namun begitu ujarnya, PAS kini sudah kehadapan dan meninggalkan parti-parti lain jauh ke belakang menerusi pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang digagas dan diamalkan.
 
Menurut beliau, ramai pengundi-pengundi Umno berjaya didekati bersama pengundi atas pagar untuk hadir ke program-program PAS seperti disaksikan pada himpunan tersebut dan berharap diterjemah ke kertas undi.
 
PAS tambahnya, akan terus memainkan peranan dalam politik tanahair selagi Islam masih tidak ditegakkan dan akan mengambil kuasa pemerintahan jika kerajaan yang ada gagal meninggikan agama Allah. – HARAKAHDAILY 20/2/2018
- Advertisement -