Agenda kebajikan rakyat dicuaikan BN Kedah

- Advertisement -
SIK: Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman menyifatkan Kerajaan Negeri Kedah yang dipimpin Umno-BN kini terlalu cuai menjaga kebajikan rakyat dan berbeza langsung dari semasa pemerintahan PAS dahulu di bawah Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Razak.
 
Beliau mengutarakan beberapa usaha diperkenal ke atas rakyat semasa ditadbir PAS antaranya Skim Kafalah yang membantu meringankan beban waris keluarga si mati, selain sejumlah peruntukan kepada guru-guru mengajar al-Quran dan bidan kampung kerana merai sumbangan golongan itu.
 
Paling besar katanya, kejayaan almarhum membina Kampus Tetap Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil yang menjadi kebanggaan rakyat Kedah, di mana usaha itu menunjukkan PAS sentiasa dan akan terus menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat mengikut tuntutan digariskan syarak.
 
“PAS tidak memilih siapa yang akan diberikan bantuan, asalkan dia layak menerima bantuan maka kita PAS akan bantu walaupun berlainan ideologi politik,” jelasnya semasa berucap pada Himpunan Fastaqim PAS Peringkat Kawasan Sik di Tapak Pasar Malam Gulau, di sini kelmarin.
 
Beliau dalam pada itu berharap angin perubahan politik yang bertiup kencang di Kedah ini akan menumbangkan Umno dan digantikan dengan PAS hingga segala usaha ke atas rakyat dapat dikembalikan semula. – HARAKAHDAILY 20/2/2018
- Advertisement -