Pemuda hidupkan kembali cawangan yang lemah

SETIU: Gendang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang semakin dekat telah menaikan semangat Pemuda Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit dengan mengaktifkan kembali Cawangan Pemudanya di Kampung Pengkalan Atap.
 
Ketuanya, Ustaz Shafizi Ismail berkata, Pemuda PAS Batu Rakit telah berjaya menghidupkan kembali Pemuda PAS Cawangan Pengkalan Atap yang tidak aktif sejak 14 tahun lamanya.
 
Malah, katanya perkembangan lebih manis lagi apabila cawangan itu berada di tempat yang diwakili oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman.
 
“Alhamdulillah, kita (PAS) telah berjaya menghidupkan kembali Pemuda PAS Cawangan Pengkalan Atap yang sudah tidak aktif kira-kira 14 tahun lamanya.
 
“Kejayaan menghidupkan semula Cawangan Pemuda ini lebih manis lagi kerana cawangan ini juga berada di cawangan Adun Batu Rakit (BN), Bazlan Abdul Rahman yang diyakini bakal memberi impak besar kepada beliau.
 
“Memandangkan cawangan ini berada di cawangan wakil rakyat BN, maka usaha yang giat telah dijalankan dan hasilnya amat memberangsangkan kerana berjaya mengumpul ratusan anak muda yang cintakan Islam,” jelasnya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Markas PRU14 Unit Peti Undi (UPU) Bukit Wan oleh Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah, kelmarin.
 
Ustaz Shafizi yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Negeri Terengganu mendakwa Pemuda Cawangan Pengkalan Atap juga merupakan peserta teramai menyertai konvoi bermotor Dun Batu Rakit dua minggu lalu.
 
Mengimbau kenangan lalu, katanya selepas kekalahan kerajaan PAS Terengganu pada tahun 2004, Cawangan PAS Pengkalan Atap seperti ketandusan tenaga muda bagi membantu jentera parti peringkat Dun Batu Rakit.
 
Menurutnya, Pemuda PAS Dun Batu Rakit menyahut cabaran pimpinan PAS Terengganu yang mensasarkan Dun terbabit mesti dimenangi bagi membantu parti kembali memerintah negeri ini. – HARAKAHDAILY 19/2/2018