PAS sedia rampas kembali Dun Batu Rakit

- Advertisement -
SETIU: Majlis Tindakan Dun (MTD) Batu Rakit kini sedang mengumpul kekuatan parti di semua peringkat Unit Peti Undi (UPU), Pemuda PAS dan Cawangannya bagi merampas kembali Dun tersebut dari tangan Umno-BN.
 
Pengarah MTD Batu Rakit, Ustaz Nazari Alias berkata PAS kini berada dalam keadaan siap sedia bagi mengambil kembali kerusi Dun Batu Rakit pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
 
Ini sekali gus katanya, dapat membantu PAS Terengganu kembali memerintah negeri ini setelah dijatuhkan pada pilihan raya 2004 lalu.
 
Menurutnya, Umno-BN Terengganu kini berada dalam keadaan tidak stabil, lemah dengan 1001 masalah kepincangan.
 
“Dengan segala kepincangan yang sangat jelas dilakukan oleh Umno dan kerajaan BN Terengganu, rakyat tidak ada pilihan lain lagi kecuali memberikan mandat kepada PAS.
 
“Isu-isu bukan sahaja berlegar dengan isu setempat seperti isu pembaziran Kompleks Taman Ilmu, Kenyir tetapi juga dengan isu-isu peringkat nasional seperti GST, 1MDB, skandal Felda dan terbaharu berkaitan dengan isu akidah (agama) anak-anak Indera Ghandi.
 
“Semua ini mesti dijelaskan oleh PAS dan rakyat mesti difahamkan supaya tidak lagi ketinggalan dan masih menyokong Umno. Apatah lagi dengan bantuan kemudahan teknologi yang ada, PAS akan berjaya InsyaAllah,” tegasnya.
 
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Markas  PRU14 Unit Peti Undi (UPU) Kampung Bukit Wan, yang merupakan salah satu kubu kuat Umno di Dun Batu Rakit, di sini kelmarin.
 
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Adun Bukit Payung dan Ketua Pemuda PAS Dun Batu Rakit, Ustaz Shafizi Ismail.
 
Sehubungan itu kata Ustaz Nazari, bagi merealisasikan harapan PAS kembali ke Wisma Darul Iman, pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) dapat merapatkan jurang dengan ahli serta penyokong Umno.
 
“Kita (PAS) di Dun Batu Rakit ini tidak ketinggalan mengamalkan BPMS yang boleh mendekatkan jurang antara PAS dengan penyokong Umno-BN,” jelasnya.
 
Menurutnya, antara program yang sentiasa diutamakan dan diberi perhatian seperti aktiviti kebajikan, kuliah ilmu, motivasi dan juga kegiatan pengukuhan jentera parti. -HARAKAHDAILY 19/2/2018
- Advertisement -