PAN hanya ‘kacau daun’ di Kelantan – IDEAS

- Advertisement -
SIKAP kritikal sahabat saya Wan Saiful Wan Jan, Ketua Eksekutif IDEAS (the Institute for Democracy and Economic Affairs), terhadap PAS umumnya dan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, khususnya, memang sudah sedia diketahui umum.
 
Seawal 28 April 2011 lagi, Wan Saiful telah menukilkan satu rencana bertajuk “Hadi Wajib Tolak Pencalonan Semula, Jangan Jadi Tunggul” di dalam portal berita The  Malaysian Insider, di mana rencana ini beliau angkat balik di Facebook beliau pada 29 Ogos 2014.
 
Rencana yang ditulis di saat PAS Bukit Bintang mencalonkan Husam Musa sebagai calon Presiden PAS untuk pemilihan parti di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-57 pada 3-5 Jun 2011 ini menggesa Datuk Seri Abdul Hadi berundur dari menjadi Presiden PAS.
 
Kata Wan Saiful, “Hadi bukanlah individu terbaik untuk terus menjadi Presiden PAS”, “Hadi tidak mempunyai ketrampilan ataupun ketokohan untuk menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri Malaysia”, “Hadi tidak dilihat sebagai seorang pemimpin untuk rakyat Malaysia secara keseluruhan” dan “Hadi bukan pembawa imej “pemimpin negara””.
 
Dengan menyebut nama “Husam Musa dan Nizar Jamaluddin” sebagai “individu-individu yang boleh membawa parti itu ke satu tahap baru”, Wan Saiful pun menggesa, “demi memastikan PAS boleh terus mara ke hadapan, Hadi wajib segera mengumumkan bahawa beliau tidak mahu mempertahankan jawatan Presiden dan menolak semua pencalonan”.
 
Apabila gesaan beliau ini tidak mendapat sokongan, tidak sukar untuk ditelah hala tuju Wan Saiful seterusnya, di mana pada 20 September 2014 umpamanya beliau menulis di dalam Facebook beliau “Hadi Awang berjaya melahirkan muktamar paling buang masa dalam sejarah terdekat” ke atas Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-60 pada 18-20 September 2014.
 
Begitu juga dengan pemilihan bersejarah di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 pada 4-6 Jun 2015, dalam mana Wan Saiful mengomen di dalam portal berita The  Malaysian  Insider pada 2 Jun 2015 bahawa jika Ustaz Ahmad Awang kalah untuk jawatan Presiden PAS maka PAS akan menjadi “a small party which could only get support in the kampong”.
 
Sebelum itu, pada 24 Januari 2015, Wan Saiful, mungkin di dalam usaha untuk mempengaruhi undian di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 ini, dengan kerasnya menulis di dalam Facebook beliau satu kenyataan berbunyi “Wah! Kebodohan apakah ini?” ke atas laporan portal berita The  Malaysian  Insider bertajuk “Pilihan Raya PBT Boleh Cetus 13 Mei, Kata Hadi Kepada DAP”.
 
Bila para pemimpin PAS yang tewas di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 ini keluar dari PAS untuk menubuhkan PAN, Wan Saiful dengan bangganya memaklumkan di Facebook beliau mengenai keterlibatan beliau dan Dr Maszlee Malik di dalam Bengkel Perancangan Strategik PAN di Hotel Bangi-Putrajaya pada 5 September 2015.
 
Berdasarkan kepada latar belakang inilah, maka saya agak terkejut bila Wan Saiful mengomen, di dalam rencana The  Sunday  Star bertajuk “Silence Is Golden On Palace Move” hari ini, dengan menyebut bahawa PAN telah diberikan “a terrible blow” ekoran penarikan balik darjah kebesaran Husam Musa dan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
 
Selain dengan yakinnya menyebut bahawa PPBM langsung tiada pengaruh di Kelantan (“has almost no traction in the state and would not be able to dent Umno’s support”), Wan Saiful juga menyebut bahawa peranan PAN di Kelantan hanyalah setakat menjadi pengacau daun terhadap PAS sahaja (“the classic spoiler in the event of a three-corner fight”).
 
Berbeza dengan pemimpin PAN yang mendakwa kononnya akan wujud persefahaman politik antara PAS dan Umno di Kelantan di dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ini, Wan Saiful juga menyatakan bahawa pertembungan di Kelantan hanyalah antara “PAS dan Umno” (“the battle in Kelantan is once again squarely between PAS and Umno”).
 
Boleh diperdebatkan hujah Wan Saiful bahawa “berdasarkan kepada sentimen di bawah, Umno mempunyai kelebihan kali ini (“going by the sentiment on the ground, Umno has the upper hand this time”) kerana “Kelantan tidak menikmati pembangunan dan peluang ekonomi” (“Kelantan has not enjoyed economic development and opportunities”).
 
Sebagai contohnya, seorang pengkaji politik, Dr Amer Saifude Ghazali, di dalam tesis PhD beliau bertajuk “Politik Pilihan Raya Dan Gelagat Pengundian Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Di Kelantan” pernah menulis: “Pengundi Kelantan juga tidak semuanya terpengaruh dengan kempen-kempen politik yang bersifat materialisme seperti menjanjikan kemajuan dan pembangunan, membawa projek-projek yang besar serta akan menjadikan Kelantan sebuah negeri yang maju daripada aspek kebendaan semata-mata yang bersifat keterlaluan.”
 
Begitupun, apa yang jauh lebih penting di sini, bagi saya, ialah tamparan terbuka yang diterima oleh bukan sahaja PKR Kelantan, yang langsung tidak disebut (“tidak masuk buku”), dan PPBM Kelantan, yang didakwa langsung tiada pengaruh, tetapi khususnya oleh PAN Kelantan bila tokoh seperti Wan Saiful yang sebelum ini kelihatan turut mendokongnya kini menidakkan terus peluang PAN di Kelantan. – HARAKAHDAILY 18/2/2018
- Advertisement -