Ramai pakar bantah terowong dasar laut P. Pinang

- Advertisement -
BEBERAPA pakar kejurutera­an tempatan mempertikai­kan rancangan membina tero­wong dasar laut menghubungkan Bagan Ajam ke Persiaran Gurney. 
 
Rancangan Kerajaan DAP Pulau Pinang itu disifatkan mereka bukan sahaja membazir bahkan memberi kesan yang sangat teruk kepada alam sekitar selain akibat dari tambakan laut.
 
Malah, pakar-pakar terlibat turut melahirkan kehairanan dengan rancangan berkenaan kerana projek terowong itu hanya akan menambahkan lagi kesesakan di bahagian pulau. 
 
Ia langsung tidak akan mengurangkan lalu lintas seperti mana dakwaan pemimpin Kerajaan DAP Negeri.
 
Pakar kejuruteraan terowong Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Othman Che Puan antara yang mempersoal kewajaran mahu dilaksanakan itu. 
 
Kerajaan negeri kata beliau, sepatutnya memastikan kapasiti penggunaan jambatan kedua ditingkatkan dan bukannya membina projek berke­naan.
 
Menurut beliau, kapasiti penggunaan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah itu kini hanya pada tahap 50 peratus sahaja.
 
Bantahan seumpama turut dinyatakan tokoh akademik lain antaranya Prof Madya Ahmad Fuzi Asrhad (UiTM), Prof Madya Dr Azeem Fauwan (USM) dan  Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican (USM) serta ramai lagi.
 
Malah, sudah ramai aktivis pengguna dan alam sekitar mengemukakan bantahan antara paling kerap Presiden Sahabat Alam Malaysia, S M Mohamed Idris yang juga Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
 
Bantahan mereka wajar dan berfakta kerana ia melibatkan kesan akibat dari tambak laut dan pembinaan terowong dasar laut akan mengancam alam sekitar dan ekosistem lautan di Pulau Pinang.
 
Pelbagai hujah dan fakta berdokumen telah dikemukakan, semua ditolak. Sampai ke peringkat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kini menunggu semakan dan pendakwaan melibatkan pembinaan terowong dan jual tanah.
 
Banyak agensi kerajaan terlibat, namun ibarat tangan kaki diikat dan mulut ditutup tidak mampu berbuat sebarang tindakan.
 
Kerana itu rakyat Pulau Pinang mahu Majlis Perancang Fizikal Negara berfungsi sewajarnya dan menolak projek tambakan laut dan pembinaan terowong dasar laut atas dasar.
 
Malah, demi kepentingan rakyat memandangkan ianya pasti melibat sejumlah peruntukkan kewangan yang sangat besar, disamping kesan atau impak terhadap ekosistem.
 
Sedangkan juga, manfaat dan keuntungannya dilihat terlalu kecil untuk kepentingan rakyat kebanyakan melainkan mungkin mengenyangkan tembolok pihak tertentu.
 
Cukuplah permainan politik DAP dan PKR Pulau Pinang yang telah banyak menyusahkan rakyat di negeri ini.
 
SAIFUL LIZAN MD YUSOFF
Pengerusi
Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS)
PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 17/2/2018
- Advertisement -