Lancar Bilik Operasi Damak langkah menangi Jerantut

JERANTUT: PAS Dun Damak telah melancarkan Bilik Operasi Induk di Jalan Jerantut – Temerloh berhadapan Sekolah Menengah Agama TAHAP, di sini semalam.
 
Pelancaran sebagai mengorak langkah menandingi Dun tersebut pada PRU14 nanti itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Andansura Rabu.
 
Beliau yang juga Adun Beserah merasmikan Bilik Operasi Induk itu dengan gimik pemotongan riben dan menandatangani plak tanda pembukaan.
 
Majlis tersebut turut disusuli Dialog Rakyat menampilkan Andansura bersama Yang DiPertua (YDP) dan Timbalan YDP PAS Kawasan Jerantut, Ustaz Yohanis Ahmad dan Ustaz Zuridan Mohd Daud.
 
Bilik Operasi Induk tersebut turut menghimpunkan Markas Jentera Pemuda PAS, Jentera Urusan Ulamak PAS dan Jentera Halwa PAS Damak bagi gerak kerja PRU.
 
Pelancaran tersebut adalah susulan pengisytiharan PAS Pahang bertanding semula di Dun tersebut yang sebelum ini diberi laluan kepada PKR bertanding dalam PRU lalu.
 
PAS Pahang turut mengumumkan bertanding di semua kerusi Dun dalam Parlimen Jerantut terdiri daripada Damak, Tahan dan Pulau Tawar. – HARAKAHDAILY 17/2/2018