Tahun Baharu Cina jambatan dakwah PAS Temerloh

- Advertisement -
TEMERLOH: PAS Kawasan Temerloh telah mengadakan edaran kuih bahulu berbentuk ikan, kad ucapan serta risalah penerangan kepada kaum Tionghua di tiga Dun dalam Parlimen ini.
 
Kunjungan ziarah muhibah bagi edaran itu adalah bersempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang diziarahi rombongan PAS Temerloh sejak kelmarin hingga hari ini.
 
Usaha membina hubungan dan meraikan sambutan tersebut ternyata disambut baik kaum Tionghua walaupun ketika ini PAS dilingkari tohmahan dan sentimen untuk menjauhkan mereka dari parti Islam itu.
 
Menurut Yang DiPertua PAS Temerloh, Jusoh Darus, penerimaan itu membuktikan dasar Islam dibawa PAS relevan untuk semua agama dan bangsa.
 
Malah katanya, PAS bukan sekadar parti politik yang bergerak hanya untuk pilihan raya, tetapi parti dakwah dan punya matlamat jauh lebih besar berbanding agenda politik semata.
 
“Nilai kemanusiaan, keadilan dan kemakmuran adalah bersifat sejagat dan menjadi teras perjuangan Islam sesuai dengan sifat agama ini. 
 
“Usaha ini bagi membina hubungan antara kaum dan sebar nilai-nilai ditekan Islam untuk dikongsi semua,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.
 
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Temerloh, Roslan Ahmad memaklumkan, program melibatkan pimpinan PAS Kawasan, Penyelaras-penyelaras Dun dan Jentera Halwa itu dibahagikan ke Dun Semantan, Mentakab dan Lancang.
 
Jelasnya, program rutin tahunan itu adalah usaha membina jambatan dakwah disamping menjelas salah faham berkaitan dasar perjuangan PAS. – HARAKAHDAILY 16/2/2018
- Advertisement -