Tahun Baharu Cina 2018, tahun ubah kerajaan

- Advertisement -
SANDAKAN: Tahun Baharu Cina yang diraikan oleh masyarakat Cina pada hari ini diharapkan menjadi tahun perubahan kepada pemerintahan Malaysia, demikian kata Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Sahar Abdul Majid.
 
Menurutnya, Tahun Baharu Cina terkenal dengan simbol kebahagiaan dan kekayaan bagi masyarakat Cina, sekali gus boleh menjadi anjakan mengubah kerajaan korup Umno-BN kepada kerajaan adil iaitu PAS dan Gagasan Sejahtera.
 
Menurutnya, daripada reaksi masyarakat dalam banyak siri penerangan PAS di Sabah. bukan sahaja masyarakat Cina mahu berubah, bahkan masyarakat bumiputera juga inginkan perkara yang sama.
 
“GST, harga barang naik, harga minyak tidak menentu antara isu yang menghambat rakyat kebanyakan. Rakyat sudah tidak tahan dengan keadaan ini, lebih-lebih lagi masyarakat Cina yang celik dengan politik,” ujarnya.
 
Perkara tersebut diungkapkan beliau semasa menyerahkan kad ucapan dan limau kepada masyarakat Cina sempena Tahun Baharu Cina di Taman Mawar dan Karamunting, di sini semalam.
 
Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu yang hadir pada program sama turut menyeru masyarakat berbilang kaum di Sabah untuk bersatu padu.
 
Jelasnya, Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian etnik melebihi 30 kaum wajar dijadikan contoh masyarakat majmuk yang bersatu padu.
 
“Apabila sambutan Tahun Baharu Cina seperti ini, masyarakat selain Cina juga meraikannya dengan memberikan hadiah, mengadakan kunjung mengunjung serta memberi ucapan,” ujarnya.
 
Tambah beliau, Tahun Baharu Cina diharapkan dapat menyumbang kepada kesatuan disamping diraikan dengan penuh kemeriahan dan warna warni. – HARAKAHDAILY 16/2/2018 
- Advertisement -