Lok koho punoh! kata loghat orang Teganu

- Advertisement -
DENGAN Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Dalam nama KudusNya, saya mula menulis ini. Semoga saya sentiasa menyedari bahawa keupayaan jari-jari ini untuk menaip skrin pada papan kekunci adalah dengan izin-Nya. 
 
Fikiran yang terlintas mengenai ulasan yang ingin disampaikan kepada pembaca dan mungkin akan dikomen berpunca dari kehendak-Nya. Saya berdoa agar Allah S.W.T akan membuka hatiku untuk membuat tulisan ini hanya kepadaNya sahaja, baik pada permulaan, di tengah-tengah dan pada akhir supaya ia bukan semata-mata bertujuan mengharapkan tindak balas, ulasan, sorotan, pujian, dan lain-lain.
 
Sesungguhnya, suhu pilihan raya semakin panas apabila banyak pihak dari parti-parti politik di Malaysia semakin menggila tingkah-lakunya untuk ke Putrajaya. 
 
Ini petanda bahawa, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 semakin dekat menghampiri kita semua. Masing-masing parti mula memasang angan-angan untuk menaiki takhta walaupun umurnya masih baharu setahun jagung.
 
Hakikat yang berlaku dihadapan mata kita semua ialah Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) telah lama memerintah Malaysia yang sebelum ini dikenali Tanah Melayu. Kini usia pemerintahannya telah memasuki usia warga emas yang bukan semakin gah dan hebat tetapi menuju kepada nyanyuk.
 
Ibarat kata, destinasi pemerintahan Melayu Umno kini sedang menuju keruntuhan dan kemusnahan yang jika terus dibiarkan mereka kekal berkuasa nescaya generasi akan datang berada dalam kemalapan dan kegelapan.
 
Sedar tak sedar sebenarnya, Umno yang menjadi tulang belakang pemerintahan kerajaan BN hari ini telah pun berkubur buat kali pertamanya pada tahun 4 Februari 1988. Maka, Umno yang ada pada hari ini adalah Umno Baru setelah berlaku Krisis Perlembagaan Malaysia 1988 di zaman pemerintahan bekas Perdana Menterinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Hari ini terdapat sebanyak 46 buah parti politik berdaftar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Manakala, bilangan kerusi pula sebanyak 222 bagi kerusi Parlimen dan 587 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dipertandingkan.
 
Sedarlah wahai rakyat Malaysia yang cukup umurnya 21 tahun dan layak mengundi bagi yang mempunyai namanya dalam daftar pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sesungguhnya, nasib dan masa depan rakyat dan negara ini ditangan kamu.
 
 

Umno Baru dan kerajaan BN yang sedia ada hari ini sudah tidak boleh diharapkan lagi untuk menjadi tuan bagi menjaga bumi bertuah Negaraku Malaysia. Pelbagai musibbah dan kerosakan berlaku saban hari oleh pemimpin Nombor Satu, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.

- Advertisement -
 
Pelbagai isu melanda negara dengan skandal 1MDB, hilang tanah Felda, skandal National Feedlot Corporation (NFC) dan hari ini media serta akhbar luar negara melabelkan Malaysia The Most Corrupt Country  In  The  World.
 
Kata loghat orang Terengganu, Lok Koho Punoh bagi menggambarkan kepada rakyat jika masih terus dibiarkan, keadaan semakin teruk dan rosak hingga tidak dapat diselamatkan lagi.
 
Kini menjelang PRU14, timbul pula Pakatan Harapan (PH) yang cuba mempertaruhkan bekas PM selama 22 tahun, Tun Dr M untuk diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia Ketujuh jika PH menang PRU14 tahun ini.
 
Rakyat tidak lupa bagaimana dengan isu pembunuhan mangsa Memali, skandal pelaburan Bumiputera Malaysia Finance (BMF), Forex dan skandal Perwaja Steel di zaman Tun Dr M menjadi PM Malaysia. Tun mentadbir dengan prinsip Machiavellian serta mengamalkan kronisme dan nepotisme.
 
Gabungan parti dalam PH itu terdiri daripada Parti KeADILan Rakyat Malaysia (PKR), Parti Bersatu Bangsa Malaysia (PBBM), Parti Tindakan Demokratik atau DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) setelah gabungan parti dalam Pakatan Rakyat (PR) terkubur.
 
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kini berada dalam satu gabungan lain dinamakan Gagasan Sejahtera yang terdiri dari PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa). Selain itu, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Harapan Malaysia (PHM) juga berhasrat menyertai Gagasan Sejahtera dalam kelompok Blok Kuasa Ketiga.
 
Ini bermakna, PRU14 agak istimewa dan boleh jadi sebagai ibu pilihan raya kerana bakal berlaku pertarungan hebat antara tiga gabungan parti besar antara komponen Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera.
 
Justeru, kepada rakyat dan pengundi yang budiman sekalian. Buatlah pilihan yang tepat dan berintegriti sebagai seorang hakim yang akan membuat pilihan parti yang benar dan layak bagi menerajui negara ini selama tempoh lima tahun mendatang.
 
Jika dikekalkan mandat itu kepada Umno Baru dan BN (Najib) samalah seperti loghat Terengganu tadi Lok Koho Punoh. Jika diserahkan pula kuasa itu kepada Pakatan Harapan (Tun M) telah terbukti kerosakan berlaku selama 22 tahun lalu. Namun, jika diamanahkan mandat baharu itu kepada PAS dan Gagasan Sejahtera, terbukti PAS lebih cekap kerana telah memerintah Kelantan selama 27 tahun sebagai role model yang bersih serta bebas rasuah.
 
Oleh itu, ingatkan wahai rakyat Malaysiaku. Jika kita Lok Koho Punoh! -HARAKAHDAILY 15/2/2018
- Advertisement -