Runtuh pentadbiran Islam muncul kerajaan sekular

- Advertisement -
KOTA BHARU: Seluruh program Islam dirintis Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat akan runtuh sekiranya kerajaan yang ada sekarang tidak dipertahankan.
 
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin berkata, Kelantan satu-satunya negeri yang ditadbir di bawah kepemimpinan ulama di negara ini sekarang.
 
Katanya, keruntuhan pentadbiran berteras Islam memberi peluang kepada unsur sekular muncul kembali di Kelantan seperti sebelum 1990.
 
“Biar apa pun ancaman, ugutan, kita tetap terus bangkit dengan menyumbang setiap titik peluh, tenaga, masa dan wang ringgit bagi mempertahankan kepimpinan ulama di Kelantan.
 
“Kita hendaklah bekerja keras bagi meneruskan agenda Islam yang dilaksanakan sejak arwah Tok Guru dan diteruskan kepimpinan sekarang,” katanya pada ucaptama sempena seminar Kelantan Model Kepemimpinan Ulama di Dewan Teratai hari ini.
 
Perasmian penutup disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob. Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Dato’ Abdullah Yakub, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.
 
Seminar separuh hari itu dianjur bersama Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dan Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) Bentara Setia.
 
Sebelum itu tiga kertas kerja dibentang pada seminar tersebut iaitu Timbalan Pengarah IPTG, Ustaz Fadzli Abdul Ghani; Pensyarah UUM, Dr Kamarul Zaman Yusoff dan Pensyarah UMK, Dr Nik Yusri Musa.
 
Pada program itu juga dilancar buku Tuan Guru Haji Yaakub Ishak: Sumbangan dan Perjuangan serta pelancaran Mobile Apps Tok Guru.
 
Selain itu penyerahan kitab Al  Fihris  Asy  Syamil  Litturath  Al’-Rabi  Al  Islami  Al  Makhtut oleh Setiausaha Dewan Ulama, Dato’ Dr Nik Zawawi Salleh kepada IPTG.
 
Tuan Guru Hashim juga berkata, pada Pilihan Raya Umum 1990 rakyat Kelantan menolak politik sekular dan mengangkat ulama mentadbir negeri tersebut.   -HARAKAHDAILY 14/2/2018
- Advertisement -