Perjuangan PAS untuk selamatkan Malaysia

- Advertisement -
MARANG: Perjuangan politik PAS bukan sekadar untuk menang di negeri Terengganu dan Kelantan sahaja tetapi bagi menyelamatkan Malaysia.
 
Sehubungan itu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata partinya mengambil kira seluruh negeri yang ada di Malaysia.
 
Menurutnya, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini PAS berusaha untuk bertanding sebanyak 130 kerusi daripada 222 kerusi parlimen negara.
 
“Maka, kita (PAS) mengambil kira seluruh negeri yang ada di Malaysia, supaya kita mendapat kerusi dengan sebanyak-banyaknya. 
 
“Dalam pilihan raya (PRU14) ini di peringkat pusat kita (PAS) berusaha supaya kita bertanding 130 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen. 
 
“Jika kerusi kita lebih, kita (PAS) boleh membentuk kerajaan. Kalau kerusi kita sekadar 40 kerusi, tidak ada parti yang boleh membentuk kerajaan. Umno tak boleh bentuk kerajaan. DAP tak boleh bentuk kerajaan, siapa pun tak boleh bentuk kerajaan. 
 
“Kalau kita (PAS) 40 kerusi, parti lain akan dapat kerusi-kerusi dia. (Dengan) 40 kerusi ini sudah cukup bagi PAS untuk menekan parti-parti lain sama ada menerima Islam atau pun tidak. Bermakna kita (PAS) ada kekuatan dengan 40 kerusi itu,” tegasnya dihadapan ribuan hadirin.
 
Beliau berkata demikian ketika Ceramah Perdana Sempena Majlis Pelancaran Markaz Besar PAS Dun Bukit Payung di Perkarangan Madrasah Darul Iman (MDI), Kampung Titian Baru, Bukit Payung, Marang semalam.
 
Dato’ Seri Abdul Hadi turut mengingatkan umat Islam bahawa mendirikan sebuah kerajaan Islam itu merupakan satu kewajipan.
 
“Hari ini orang kita buat main-main dalam masalah mengundi pilihan raya ini. Ini kerana, mereka tidak tahu bahawa mendirikan kerajaan Islam adalah kewajipan yang besar dalam Islam.
 
“Payah kepada PAS untuk mengajak orang penyokong perjuangannya. Oleh kerana, kita (Malaysia) lama dijajah banyak (ramai) orang Islam tenggelam dalam kejahilan,” ujarnya.
 
Justeru, kata Ahli Parlimen Marang itu, PAS berusaha bagi mempertahankan Kerajaan Kelantan dan berusaha menang di beberapa negeri lain.
 
Menurutnya, jika PAS diberi mandat memerintah pada pilihan raya nanti parti itu akan menunjukkan keadilan Islam kepada orang bukan Islam. 
 
“Kita berusaha untuk mempertahankan kerajaan PAS Kelantan, berusaha untuk menang lagi di Terengganu, menang di Kedah, menang di Perlis dan menang di Selangor. Ini kita akan usahakan. 
 
“Jika kita mendapat kejayaan, InsyaAllah kita (PAS) tunjuk dulu apa dia adilnya Islam dan baiknya Islam ini khusus kepada orang bukan Islam dan menyedarkan orang Melayu sendiri,” jelasnya.
 
Maka, katanya perjuangan PAS dalam pilihan raya ini sangat besar makna bagi mengembalikan semula Islam memerintah dan menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.
 
Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS II Terengganu, Dr Alias Razak, Yang Dipertua PAS Kawasan Marang, Yahaya Ali dan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah. -HARAKAHDAILY 14/2/2018
- Advertisement -