Kesediaan ahli Umno berubah penting untuk Islam

- Advertisement -
SIK: Umno sudah tidak mampu menjaga Islam di negara ini, bahkan Islam semakin ditekan dan diasak saban hari akibat ketidakmampuan Umno, demikian menurut Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman.
 
Memetik kes Indira Gandhi sebagai contoh berkaitan, beliau menyifatkan perkara tersebut terjadi berikutan sistem perundangan negara yang tidak meletakkan Islam sebagai asas.
 
“Akta 164 yang dibawa oleh kerajaan dan telahpun diluluskan oleh Parlimen walaupun semua Ahli Parlimen PAS menentangnya. Manakala Akta 355 penambahbaikan Mahkamah Syariah dipandang sepi oleh kerajaan. 
 
“Masih relevankah Umno menjaga Islam di bumi Malaysia ini?” soalnya ketika berceramah bersama Yang DiPertua PAS Kawasan Padang Serai, Ustaz Shaharudin Ibrahim di Kampung Jelutong, Chepir, di sini semalam.
 
Ustaz Tarmizi menegaskan, hanya PAS sahaja yang benar-benar hendak Islam ditinggikan dan menyeru ahli Umno untuk menyokong PAS pada pilihan raya kali ini.
 
Jelasnya, kesediaan para ahli Umno untuk berubah itu penting supaya usaha memartabatkan Islam selayaknya sepertimana yang terkandung dalam Perlembagaaan Negara benar-benar dapat direalisasikan.
 
Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana ahli Umno telah ditipu oleh pemimpin mereka mengenai Islam dan pelbagai lagi isu, hanya kerana mahu kuasa dikekalkan dalam kalangan mereka.
 
Sementara Ustaz Shaharudin Ibrahim dalam ceramahnya melontarkan renungan berkait pertambahan ramai pengundi bukan Islam untuk PRU14 berbanding pengundi Islam kerana kesedaran mereka mengenai kuasa.
 
“Tahap kesedaran orang Islam mengenai betapa pentingnya untuk mendapatkan kuasa supaya suara Islam di dalam Parlimen digeruni masih di paras rendah. Waima, ada orang Islam sendiri yang tidak peduli mengenai kuasa. 
 
“Hanya bagi mereka cukup dapat menjalani kehidupan seharian walau siapapun memerintah. Ini merupakan satu pemikiran yang salah dan sangat membimbangkan. 
 
“Kerana golongan bukan Islam sentiasa bersatu hati dalam apa jua isu yang melibatkan kepentingan mereka mahupun agama Islam tanpa mengira mana-mana parti,” terangnya. -HARAKAHDAILY 14/2/2018
- Advertisement -