Pemuda generasi al-Quran teras kemenangan PAS

- Advertisement -

TEMERLOH: Jentera Pemuda PAS di seluruh peringkat diseru dan digesa untuk memperkemaskan diri dan organisasi dalam mempertahankan kemenangan serta menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan menjelma tidak lama lagi.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khiril Nizam Khairuddin menegaskan demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan Temerloh di PASTI Assyakirin, Taman Tualang Indah, di sini kelmarin.

Beliau telah menggariskan tiga asas generasi acuan Al-Quran sepertimana Nabi Muhammad membentuk para Sahabat yang mampu mengusai dunia dan menegakkan khilafah umat Islam.

Generasi ini ujar beliau, didasari keyakinan sepenuhnya kepada iradah (ketentuan) Allah bahawa Islam akan menang dan berkuasa, serta wala’ dan tsiqoh kepada dasar, kepimpinan dan keputusan jemaah.

Selain mereka itu katanya, sentiasa beriltizam untuk memperbaiki diri bagi menguatkan jentera dan organisasi jemaah.

“Generasi Jilul Quranul Fareq (Generasi Al-Quran yang unggul) ini sangat penting dalam menjana kemenangan PAS. Pemuda PAS wajib mencontohi dan berusaha untuk menjadi seperti generasi acuan tarbiyah Nabi ini.

“Kerana Pemuda PAS adalah back benches utama kepada kepimpinan dan pergerakan parti,” ujar beliau di hadapan para perwakilan dan kepimpinan Pemuda PAS Temerloh.

Beliau juga sempat menukilkan wasiat mantan Timbalan Presiden PAS, Allahyarham Profesor Zulkifli Muhammad yang menyatakan perjuangan PAS akan terus releven jika penggeraknya ada tiga perkara iaitu keikhlasan, kesungguhan dan perpaduan.

Beliau turut menyeru agar Pemuda PAS Temerloh berusaha semaksimum mungkin dalam mempertahankan kemenangan Parlimen Temerloh selaku kemenangan tunggal Parlimen bagi PAS Pahang.

Maka tegas Ir Khairil, tugas berat ini perlu dijalankan dengan penuh disiplin dan didikasi bagi mendapatkan rahmat dan pertolongan daripada Allah.-HARAKAHDAILY 13/2/2018

- Advertisement -