PAS Setiawangsa tembusi kubu Umno di PPR Desa Rejang

- Advertisement -

SETIAWANGSA: Islam akan menjadi dasar pemerintahan yang menjadi penyelesaian terbaik segala permasalahan masyarakat di ibukota sekiranya PAS diberi mandat pada PRU14 nanti, demikian dinyatakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Kamaruzzaman Mohamad.

- Advertisement -

Antaranya jelas beliau, PAS bersama Gagasan Sejahtera menawarkan pengurusan dan perbelanjaan negara dengan cara berhemah dan adil berdasar dokumen Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS), Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) serta Dokumen Hijau.

“Dokumen WINS merupakan pelan induk bagaimana PAS akan mentadbir Malaysia sehingga 2051 yang dibahagikan kepada tiga fasa tersusun bermula peringkat pemulihan pembangunan, pembangunan yang pesat dan ikon pembangunan negara luar.

“Ini menunjukkan kematangan, kemampuan dan kewibawaan PAS memerintah Malaysia. Semasa PAS memerintah Terengganu (tahun) 1999 hingga 2004 sebagai contoh, PAS berjaya menghapus tol, cukai pintu dan penyerahan 60,000 lot tanah kepada rakyat.

“Ini tidak dapat dilakukan oleh Kerajaan BN walaupun Kerajaan BN menafikan royalti petroleum,” ujar beliau dalam ceramah kelompok di PPR Desa Rejang, Setiawangsa yang merupakan antara kubu Umno semalam.

Selain beliau turut berucap adalah Timbalan Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Rashidi Razak dan Yang DiPertua PAS Setiawangsa, Abd Halim Hassan iaitu YDP PAS Setiawangsa serta Ketua Pemuda PAS Setiawangsa, Ustaz Ubaid Abd Akla.

Ubaid dalam ucapannya menegaskan hanya dasar Islam dapat menyelesaikan masalah rasuah, ekonomi, sosial sebagai contoh tiada satu pun pemimpin PAS dari peringkat kampung hingga negeri disabit bersalah rasuah.

Ceramah kelompok tersebut mendapat sambutan meriah penduduk PPR Desa Rejang dari pelbagai lapisan bangsa Melayu, Cina dan India serta kerjasama baik polis menunjukkan kepercayaan warga kota dan semua pihak terhadap dasar Islam untuk penyelesaian masalah kronik rakyat.-HARAKAHDAILY 13/2/2018

- Advertisement -